Pilih Bahasa

Pelajar Sabah di Mesir bebas Covid-19

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Tiada pelajar Sabah di Mesir dijangkiti wabak Covid-19 setakat hari ini.

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar berkata seramai 325 orang pelajar Sabah di negara berkenaan berada dalam keadaan sihat dan selamat.

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Moktar pada sidang media Kaedah Pembayaran Zakat Fitrah Negeri Sabah Tahun 2020 di Wisma MUIS, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Aidi berkata kerajaan negeri dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sudah menyalurkan bantuan kewangan untuk pelajar mendapatkan keperluan harian di sana.

“Kita sudah membuat keputusan agar semua pelajar disarankan tidak balik ke Sabah berikutan mereka bakal menduduki peperiksaan pada Mei hadapan.

“Selain itu, kita juga khuatir ada antara pelajar dijangkiti Covid-19 dan mereka boleh menyebarkan wabak terbabit sekiranya pulang ke tanah air.

“Bagaimanapun, sekiranya ada dalam kalangan pelajar kita di Mesir yang tetap mahu pulang, mereka boleh berbuat demikian namun segala kos akan ditanggung oleh pelajar sendiri,” katanya.

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Moktar menunjukkan langkah pembayaran secara atas talian ketika sidang media Kaedah Pembayaran Zakat Fitrah Negeri Sabah Tahun 2020 di Wisma MUIS, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Aidi berkata demikian ketika sidang media Kaedah Pembayaran Zakat Fitrah Negeri Sabah Tahun 2020.

Terdapat empat kaedah sudah digariskan MUIS bagi pembayaran zakat fitrah di Sabah seperti kutipan zakat secara pandu lalu, pembayaran atas talian, kutipan zakat di tempat atau lokasi strategik yang dikenalpasti dan pembukaan kaunter kutipan zakat di ibu pejabat serta semua pejabat cawangan bahagian zakat dan fitrah MUIS seluruh negeri.

Sementara itu, Setiausaha MUIS, Ramlan Awang Ali berkata sebanyak RM185,000 zakat fitrah sudah dikutip Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menerusi pembayaran secara atas talian setakat jam 10 pagi hari ini.

“Jumlah ini membabitkan kira-kira 7,000 pembayar zakat fitrah di seluruh negeri.

“Pembayaran menerusi atas talian ini dilaksanakan melalui transaksi perbankan terus ke akaun zakat fitrah yang diuruskan oleh MUIS,” katanya.

Ramlan menyatakan pembayaran zakat fitrah menerusi atas talian  meliputi perkhidmatan perbankan Maybank, Bank Islam, Agrobank, CIMB, Bank Rakyat dan BSN selain pembayaran melalui aplikasi SnapNPay, MyeG, Boost dan JomPay. -SabahNewsToday