Pilih Bahasa

Pelajar SK Pulau Sepanggar hadapi masalah jambatan roboh

Oleh Zakaria Damit

Jambatan SK Pulau Sepanggar berusia lebih 10 tahun roboh akibat angin kencang. – Gambar SNT/Ihsan SK Pulau Sepanggar

KOTA KINABALU: Seramai 244 pelajar serta guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Sepanggar terjejas serta menghadapi masalah ke sekolah apabila jambatan sepanjang 50 meter roboh akibat angin kencang yang berlaku petang tadi.

Menurut seorang jurucakap sekolah berkenaan kejadian tersebut disedari berlaku oleh pegawal Keselamatan sekolah terbabit.

Sebuah rumah turut roboh akibat angin kencang yang melanda beberapa kawasan di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan SK Pulau Sepanggar

“Jambatan ini sangat penting. Kami menggunakan jambatan ini lebih 10 tahun terutama pelajar yang menggunakan perkhidmatan bot daripada kampung yang berdekatan yang belajar di SK Pulau Sepanggar.

“Selepas ini sudah tentu timbul masalah besar apabila bot yang membawa mereka tidak dapat mendarat ke tepi pantai untuk menurunkan pelajar serta kakitangan sekolah,” katanya kepada SabahNewsToday.

Beliau turut menggesa agar pihak yang bertanggungjawab datang melawat ke kawasan ini sekaligus mencari jalan segera untuk menyelesaikan masalah kerosakan kemudahan itu.

Beberapa penduduk kampung di Pulau Sepanggar membantu pemilik rumah yang terjejas akibat angin kencang. – Gambar SNT/Ihsan SK Pulau Sepanggar

Bagaimanapun tambah beliau tiada kecederaan melibatkan pelajar atau kakitangan sekolah itu dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Dalam pada itu katanya sebuah rumah di kawasan itu turut roboh akibat angin kencang yang berlaku petang tadi. – SabahNewsToday