Pilih Bahasa

Pelajar tingkatan 6 maut, motosikal ditunggang dirempuh Perodua MyVi

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Pelajar lelaki tingkatan 6 yang menunggang motosikal jenis Sym maut ketika dalam perjalanan ke sekolah, di Kampung Indah, Jalan Merotai-Tawau, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa Muhammad Rayyan Bisanga @ Irwan Shah, 18, meninggal dunia akibat dirempuh dari arah hadapan oleh kenderaan jenis Perodua Myvi sebelum tercampak ke dalam longkang.

Mangsa Muhammad Rayyan Bisanga @ Irwan Shah yang menunggang motosikal jenis Sym maut di lokasi kejadian. Gambar SNT / Ihsan IPD Tawau

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata siasatan awal mendapati kenderaan Myvi yang dipandu wanita berusia 28 tahun sedang dalam perjalanan dari Felda Umas menuju ke tempat kerja di bandar Tawau.

“Ketika tiba di lokasi kemalangan pemandu kenderaan Myvi cuba memotong sebuah lori di hadapan namun gagal dan terlanggar motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah bertentangan dipercayai dalam perjalanan menuju ke sekolah.

Motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk dalam kemalangan di Kampung Indah, Jalan Merotai-Tawau pagi tadi (Rabu). Gambar SNT’/Ihsan IPD Tawau

“Mangsa kemudian tercampak ke dalam longkang manakala kenderaan Myvi terbabas ke bahu jalan.

“Orang awam dan pembantu perubatan yang berada di lokasi bertindak mengangkat mangsa ke bahu jalan. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Orang awam dan pembantu perubatan cuba memberi bantuan kepada mangsa untuk dibawa naik ke bahu jalan. Gambar SNT / Ihsan IPD Tawau

Peter berkata siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Myvi yang memandu secara melulu dan cuba untuk memotong tanpa memastikan laluan selamat hingga terlanggar mangsa yang datang dari arah bertentangan sehingga menyebabkan kematian.

“Namun siasatan akan diteruskan dan kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan cuai,” katanya. – SabahNewsToday