Pilih Bahasa

Pelajar tingkatan empat parah, motosikal ditunggang terbabit kemalangan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Pelajar tingkatan empat parah selepas motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Navara , di Jalan Apas, Batu 15, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, mangsa Samad Hasyim, 16, patah di bahagian tulang paha kiri dan kanan serta buah pinggangnya sebelah kiri rosak.

Motosikal mangsa termasuk di celah tayar dan terseret sejauh kira-kira 30 meter. Gambar SNT / Ihsan IPD Tawau

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata mangsa ketika itu sedang dalam perjalanan dari rumah menuju ke sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung bagi menghadiri kelas tusyen manakala kenderaan Nissan Navara berada di hadapan, laluan yang sama.

“Tiba-tiba pemandu kenderaan berusia 51 tahun itu terdengar bunyi kuat dan mendapati motosikal mangsa termasuk di celah tayar belakang sebelah kanan kenderaan terbabit dan terseret kira-kira 30 meter manakala mangsa tercampak ke bahu jalan.

“Pemandu kemudian bertindak memberhentikan kenderaannya sebelum mangsa dibawa ke Hospital Besar Tawau untuk rawatan lanjut.

“Mangsa dipercayai patah di bahagian tulang paha kiri dan kanan serta buah pinggangnya sebelah kiri rosak. Mangsa masih dirawat di hospital berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata siasatan masih diteruskan untuk mengesan saksi-saksi kejadian.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – SabahNewsToday