Pilih Bahasa

Pelaksanaan subsidi petrol untuk B40 dalam tempoh terdekat

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kerajaan akan mengumumkan mekanisme pelaksanaan sistem subsidi petrol secara bersasar terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah atau B40 secara rasmi dalam tempoh terdekat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sebelum pengumuman itu dibuat kementeriannya akan membentangkan kertas kepada jemaah menteri untuk diberikan lampu hijau.

Saifuddin (kiri) menyerahkan cenderahati kepada Mohd Shafie selepas merasmikan Seminar Tipuan Bida dan Pematuhan Persaingan annjuran MyCC di Kota Kinabalu. – Foto Bernama

Menurutnya jika jemaah menteri berpuas hati pelaksanaan itu akan diteruskan seandainya tidak mungkin ada beberapa pembetulan yang perlu dilakukan lagi.

“Semalam saya mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketua setiausaha dan pegawai-pegawai kanan kementerian untuk proses memuktamadkan kertas jemaah menteri.

“Ia merupakan kertas bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal (KPDNHEP) dan Kementerian Kewangan yang perlu kita muktamadkan sebelum dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas perasmian Seminar Tipuan Bida dan Pematuhan Persaingan di sini hari ini.

Seminar anjuran Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Hadir sama ialah Pengerusi MyCC, Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus.

Saifuddin berkata demikian sebagai menjawab soalan berhubung tarikh pelaksanaan sistem subsidi petrol secara bersasar terutama kepada golongan B40 yang sepatutnya dilaksana pada suku kedua tahun ini seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2019.

Mengenai permit import (AP) diselewengkan sehingga menyebabkan harga barang beliau berkata, kajian pasaran itu telah dibentangkan MyCC dan langkah seterusnya adalah untuk membawa kertas kepada jemaah menteri untuk dimaklumkan.

“Daripada situ akan kita bincangkan dan sekiranya memerlukan penambahbaikan oleh mana-mana agensi atau kementerian terlibat ia akan dilakukan.

“Maknanya bukan sekadar kajian semula pasaran tetapi ia juga harus disusuli dengan tindakan kerana itu saya akan bawa perkara ini untuk pengetahuan jemaah menteri dan mengambil arahan daripada situ (penambahbaikan),” ujarnya. – SabahNewsToday