Pilih Bahasa

Pelan RTP fokus majukan industri pertanian Sabah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Mohd Shafie (lima dari kiri) dan Junz (tengah) bersama beberapa menteri Kabinet negeri dan pegawai kakan kementerian pada pelancaran RTP Sabah di PPNS. – gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

KOTA KINABALU: Pelan yang digariskan dalam Rangka Tindakan Pertanian Sabah (RTP) 2021-2030 merupakan kerangka komprehensif bagi membolehkan fokus diberikan kepada para petani dan penternak menjalankan perusahaan masing-masing dengan bantuan agensi kerajaan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Junz Wong berkata melalui pelan tindakan itu semua aspek akan diambil kita dan kumpulan sasar turut dibantu, diberi panduan, khidmat nasihat dan tunjuk ajar serta bimbiingan cara pemasaran hasil produk mereka.

“Langkah ini perlu agar apa yang diusahakan dan dipraktikkan oleh kumpulan sasar tidak sia-sia manakala penyertaan agensi kerajaan untuk membantu mereka akan memastikan petani dan penternak lebih berdaya maju.

“Industri Pertanian dan perikanan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negeri kerana ia dapat mewujudkan peluang pekerjaan, menyediakan sumber makanan dan pendapatan untuk rakyat,” ketika berucap sempena pelancaran Rangka Tindakan Pertanian Sabah (RTP) 2021-2030 di sini hari ini.

Pelancaran RTP Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri itu disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Auditorium Utama Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).

Junz berkata Sabah berpotensi meningkatkan produktiviti dalam pengeluaran tanaman, ternakan dan perikanan dengan menggembleng sumber, kemahiran dan pengetahuan melalui penggunaan teknologi baharu.

Katanya bidang pertanian antara fokus diberikan ialah penggunaan teknologi canggih seperti tanaman fertigasi yang tidak memerlukan bidang tanah yang luas tetapi pada masa yang sama hasil pertanian cukup banyak dan berkualiti tinggi untuk dijual dipasaran.

“Dengan penggunaan teknologi canggih ini petani tidak perlu ada tanah yang luas kerana teknologi seperti fertigasi hanya memerlukan air untuk hasilkan tanaman atau sayur-sayuran berkualiti.

“Sementara itu mereka yang bergiat dalam perikanan juga perlu lebih inovatif dalam memanfaatkan persekitaran dna keamjuan teknologi yang ada agar tidak ketinggalan,” katanya.

Junz berkata pendekatan RTP ini akan menyediakan peluang pasaran kepada hasil keluaran tempatan dengan harga lebih baik dan stabil.

Beliau yakin perancangan 10 tahun kerajaan menerusi kementeriannya dapat memfokuskan kepada bidang pertanian, makanan dan perikanan bagi pembangunan industri pertanian lebih komprehensif di Sabah. – SabahNewsToday