Pilih Bahasa

SAMBUTAN HARI KRISMAS PERINGKAT NEGERI SABAH PADA 11 DISEMBER

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (tiga dari kiri) semasa sesi penyerahan cek replika sumbangan dari Kerajaan Negeri Sabah kepada Ajk Penganjur. Gambar SNT/Ehsan Jabatan Penerangan Sabah

KOTA KINABALU: Orang ramai di sekitar bandar raya Kota Kinabalu dijemput memeriahkan acara sambutan perasmian Hari Krismas Peringkat Negeri di Lintasan Deasoka pada 11 Disember ini yang bakal dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai berkata pelbagai acara menarik disediakan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) selaku penganjur bersama Majlis Gereja-Gereja Sabah (SCC) sepanjang program tersebut.

“Acara bermula pada pukul 5 petang hingga 10 malam dengan ketibaan menteri-menteri Kabinet dijangka pada pukul 7.30 malan diikuti Ketua Menteri pada 7.45 malam,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di pejabat beliau di Bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Kota Kinabalu di sini hari ini.

Sementara itu Presiden SCC, Datuk Melter Jiki Tais berkata acara itu bukan sebenarnya bertujuan mempromosi perpaduan, kasih sayang dan keharmonian dalam kalangan masyarakat di negeri ini yang terdiri daripada latar belakang berbeza.

Katanya kepentingan untuk dihidup dalam keadaan harmoni perlu dikekalkan bagi memastikan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas peruntukan RM200,000 bagi menjayakan sambutan Hari Krismas pada tahun ini. – SabahNewsToday