Pilih Bahasa

Pelancong maut dilanggar ketika melintas sudah dikenal pasti

Oleh Junaidi Ladjana

Klaus Friedrich Walter Knolke/ – Gambar SNT/Ihsan IPD Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Polis sudah mengenal pasti identiti pelancong lelaki yang maut dilanggar ketika melintas di hadapan kompleks beli-belah di Jalan Tun Fuad Stephen di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata mangsa dikenali sebagai Klaus Friedrich Walter Knolke, 72, warga German.

“Hasil siasatan mendapati mangsa menginap di sebuah hotel berhampiran lokasi kejadian dan berada di bandar raya ini sejak 9 Mac lalu dari Manila.

“Kita akan menghubungi waris mangsa untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi.

Beliau memberitahu kes tu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian pukul 7.38 malam itu mangsa dirempuh kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun.

Mangsa yang parah kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada pukul 8.44 malam. – SabahNewsToday