Pilih Bahasa

Pelanggan SESB bakal nikmati rebat 2.5 peratus dari wang cagaran

KOTA KINABALU: Pengguna elektrik yang berdaftar dan telah memberi cagaran secara tunai dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan menikmati rebat sebanyak 2.5 peratus daripada jumlah wang cagaran tunai mereka yang dikira mengikut kadar pro-rata.

Pengurus Besar (Komunikasi Korporat) SESB, Hajah Chendramata Sinteh berkata
pemulangan rebat berjumlah RM8.3 juta itu akan dikreditkan terus ke dalam akaun bil elektrik pengguna pada bulan Januari dan Februari ini.

Pemulangan semula rebat tersebut melibatkan sejumlah 573,767 pengguna di seluruh negeri Sabah an Wilayah Persekutuan Labuan.

Wang cagaran elektrik ini dikenakan sebagai sekuriti kepada kerosakan atau untuk menjelaskan hutang tertunggak apabila pengguna menamatkan kontrak bekalan dimana ia selaras dengan peraturan 5(5) Peraturan-Peraturan Bekalan Pemegang Lesen 1990.

Ia dikira bersamaan dua bulan penggunaan bil elektrik berdasarkan purata bagi enam bulan terakhir dan akan disemak setiap enam bulan.

Chendramata turut menjelaskan penambahan wang cagaran hanya akan dikenakan sekiranya terdapat peningkatan penggunaan elektrik secara purata bagi 6 bulan berbanding wang cagaran sedia ada.

Walau bagaimanapun, jika purata penggunaan kurang daripada wang cagaran, maka ia boleh dipulangkan kepada pengguna atas permintaan pengguna melalui rebat kepada bil elektrik mereka, katanya.

Chendramata berkata untuk penerangan lebih terperinci, pengguna boleh datang sendiri ke cawangan SESB berdekatan atau menghubungi talian perkhidmatan pelanggan 15454 atau 088-515000.-SabahNewsToday