Pilih Bahasa

Pelanggan SESB digalakkan buat pembayaran bill elektrik secara online

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menasihatkan pengguna agar membuat pembayaran bil elektrik melalui saluran pembayaran online.

Saringan pemeriksaan suhu dijalankan keatas warga SESB dan orang ramai yang ingin berurusan di Wisma SESB Karamunsing. Gambar SNT/Ihsan SESB

Pengurus Besar Komunikasi Korporat, Hajah Chendramata Haji Sinteh berkata pembayaran secara online boleh dibuat menggunakan autodebit dan perbankan online serta Boost, Grabpay, Touch n Go atau Shopee.

Menurut beliau, dalam usaha mengawal dan mengelak penyebaran Covid-19, SESB akan melakukan proses pembersihan dan nyahkuman di semua pejabat SESB di seluruh Sabah dan Labuan.

Pembersihan sebanyak tiga kali sehari pada pemegang pintu, kaunter, tempat duduk dan kios pembayaran juga dilakukan agar pelanggan berasa selamat dan yakin untuk berurusan dengan SESB.

Chendramata Sinteh. Gambar Fail SNT

Chendramata berkata SESB telah mengeluarkan notis makluman agar semua warga kerja, pelanggan dan orang ramai yang ingin memasuki premis SESB menggunakan cecair pembasmi kuman serta melalui saringan pemeriksaan suhu badan sebagai salah satu langkah mengawal penularan wabak Covid-19.

“Kita juga memastikan bahawa semua warga kerja di kaunter pembayaran menggunakan penutup mulut dan hidung ketika melakukan tugasan harian mereka,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Menurut beliau, tindakan itu merupakan salah langkah SESB bagi memastikan kesihatan dan keselamatan warga kerja serta semua pihak yang berurusan di pejabat SESB adalah terkawal.

“Mencegah lebih baik daripada merawat dan disebalik kebimbangan penularan Covid-19, SESB mahu semua warga kerja dan pelawat berasa yakin dengan tahap keselamatan serta kebersihan pejabat SESB,” katanya.-SabahNewsToday