Pilih Bahasa

Pelantar terapung ‘pontoon’ runtuh

Oleh Junaidi Ladjana

Pontoon di Borneo Reef World Pulau Sapi runtuh dan separuh tenggelam akibat angin kencang dan hujan lebat semalam. – Gambar SNT/Ihsan media sosial

KOTA KINABALU: Keadaan hujan lebat disusuli angin kencang yang melanda negeri ini sejak beberapa hari lalu mengakibatkan pelantar terapung ‘pontoon’ di Borneo Reef World Pulau Sapi di sini, runtuh dan hampir tenggelam semalam.

Dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, pontoon yang menjadi tarikan utama dalam kalangan penyelam di pusat pelancongan berkenaan runtuh secara tiba-tiba berikutan cuaca buruk.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata pihaknya menerima laporan runtuhan berkenaan daripada pengurus pusat pelancongan berkenaan.

“Sebaik menerima laporan sepasukan anggota PPM dikerah ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan dan seterusnya mengambil gambar untuk laporan.

“Hasil pemeriksaan mendapati pontoon separuh tenggelam dan barang-barang lain daripada pontoon berkenaan juga terdampar ke pantai berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Anggota PPM Kota Kinabalu melakukan pemeriksaan ke atas pelantar terapung Pontoon yang runtuh dan hampir tenggelam di Pulau Sapi, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan PPM

Menurutnya pihak pengurusan pontoon akan membuat senarai kerosakan dan laporan polis untuk tuntutan insurans dan pihak berkaitan.

Difahamkan angin kencang dan hujan lebat sejak beberapa hari lalu dikatakan sebahagian daripada ribut yang melanda Filipina.

Keadaan cuaca buruk berkenaan juga dijangkakan akan berlarutan hingga 15 September ini. – SabahNewsToday