Pilih Bahasa

Pelantikan Adun Dilantik DAP tidak akan dikaji semula: Mohd Shafie

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Pelantikan Bendahari DAP Sabah, Loh Ee Eng yang berasal dari Pulau Pinang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dilantik baharu Sabah tidak akan dikaji semula.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pengumuman lantikan Loh pada 17 Mei lalu akan kekal meskipun terdapat sesetengah pihak mempertikaikannnya.

Mohd Shafie bersama isteri menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak istimewa semasa rumah terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri di Menara Tun Mustapha pagi tadi. Gambar SNT/Ihsan JKM

“Ada pihak yang mempertikaikan pelantikan Loh sebagai Adun Dilantik kerana beliau bukan anak jati Sabah.

“Namun, tiada kajian semua. Ia dicadangkan oleh DAP sendiri sebagai wakil parti tersebut sebagai Adun Dilantik dan kita perlu hormati pilihan mereka.

“Ia juga tidak bercanggah dengan perlembagaan dan beliau sudah lama menetap di sini. Saya yakin beliau juga layak,” katanya.

Bendahari DAP Sabah, Ronnie Loh Ee Eng. Gambar Fail SNT

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri, Ketua Menteri dan Jemaah Menteri Kerajaan Negeri, di Plaza Sunset, Menara Tun Mustapha, hari ini.

Mohd Shafie menegaskan bahawa apa yang penting adalah pembangunan Sabah yang terbaik dan meminta semua pihak untuk menghentikan isu pelantikan Loh.

Loh mengisi kekosongan kerusi Adun dilantik kuota DAP setelah penyandang Datuk Stephen Wong meninggal dunia penghujung bulan Mac lalu.-SabahNewsToday