Pilih Bahasa

Pelantikan Ketua Hakim Syarie Sabah baharu alami kekangan teknikal persekutuan

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menjelaskan bahawa kelewatan pelantikan jawatan Ketua Hakim Syarie Sabah adalah disebabkan oleh kekangan di peringkat perjawatan persekutuan.

Bagi kerajaan Sabah perkara itu telah diselesaikan dan tidak menjadi isu setelah syor Ketua Hakim Syarie baharu iaitu Ahmad Lakin telah diserahkan kepada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Ahmad Lakim (dua dari kiri). – Gambar SNT/Ihsan JKM

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar berkata pihaknya difahamkan kekangan untuk melantik pemangku pegawai berkenaan timbul apabila Ahmad memilih opsyen pencen 58 tahun dan akan bersara wajib pada 2 September 2019.

Bqgaimanapun katanya, pihak JKSM telah mengemukakan cadangan pemangku bagi jawatan itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA).

“Keputusannya adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam, JPA yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN).

“Susulan itu, saya telah mengusulkan agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM untuk menghadap Yang Dipertua Negeri Sabah bagi memaklum dan menjelaskan perkara tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Aidi menegaskan di peringkat kerajaan Sabah, perkara itu telah diselesaikan dan tidak menjadi isu.

Jelas beliau lagi kekangan ketika ini hanya pada peringkat Perkhidmatan Persekutuan untuk membolehkan Ahmad memangku jawatan Ketua Hakim Syarie. – SabahNewsToday