Pilih Bahasa

Pelantikan NC baharu UMS, Kerajaan negeri terkilan tidak dirujuk

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Mohd Shafie (kanan, tengah) melakukan pelepasan peserta Larian Amal 7K Sutera Harbour. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Kementerian Pelajaran diminta bekerjasama dan mendapatkan pandangan kerajaan negeri berhubung sebarang pelantikan baharu membabitkan jawatan naib canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata meskipun pelantikan itu merupakan bidang kuasa kementerian namun sebarang cadangan atau keputusan dikemukakan perlu dimaklumkan kepada kerajaan negeri.

Menurut beliau lagi kerjasama itu perlu diberikan perhatian walaupun dalam menentukan calon-calon yang dilantik menduduki jawatan seperti naib canselor.

Mohd Shafie (depan) dan Jin Zhe (kiri) menyertai acara Larian Amal 7K Sutera Harbour. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Saya tidak dimaklumkan, mereka (Kementerian Pelajaran) telah memutuskannya tanpa memaklumkan Yang Dipertua Negeri mahupun saya selaku Ketua Menteri.

“Kita maklum bahawa mereka sudah wartakan (pelantikan itu) dan perkara ini saya telah nyatakan dengan Menteri (Pelajaran) kalau ada perubahan kita kemukakan nama, tapi malangnya dia buat pilihan dia sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelantikan Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin selaku Naib Canselor baharu UMS berkuatkuasa 30 Julai ini.

Terdahulu beliau merasmikan program Larian Amal Sutera Harbour 7K yang disertai kira-kira 5,000 peserta di Marina Sutera Harbour di sini hari ini.

Shuryani (kanan) melepaskan peseeta golongan kurang upaya yang turut menyertai acara Larian Amal 7K Sutera Harbour. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Program itu turut dihadiri isteri beliau, Datin Seri Shuryani Shuaib dan Menteri Belia dan Sukan negeri, Phoong Jin Zhe.

SabahNewsToday semalam melaporkan bahawa Dr Taufiq, 51 berasal dari Kota Kinabalu bakal menggantikan Prof Datuk Dr D Kamaruddin D Muddin yang tamat tempoh perkhidmatan pada 27 Julai.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri sebenarnya tidak mempunyai masalah tentang pelantikan Dr Taufiq selaku Naib Canselor UMS.

“Yang penting universiti ini dapat berfungsi untuk mendidik anak-anak bangsa kita dan juga perkara ini menjadi peringatan kepada pihak pengurusan Kementerian Pelajaran.

“Kita hendak membina insan dari segi ilmu pengetahuan dalam konteks pengurusan pentadbiran, tapi kita juga perlu ada kerjasama sebaik mungkin di antara Kerajaan Pusat dan negeri,” katanya. – SabahNewsToday