Pilih Bahasa

Pelapis Sabah dominasi golf junior Labuan

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Bakat-bakat pelapis Sabah mempersembahkan prestasi memberangsang dengan mendominasi Kejohanan Golf Junior Piala Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan 2019 di Labuan Golf Club (LGC) pada Rabu.

Bryan William James, 16, mengepalai kejayaan pasukan negeri menyapu bersih kesemua lima kategori yang dipertandingkan dengan menjuarai kategori lelaki bawah 18 tahun selepas menewaskan dua peserta tuan rumah Muhammad Syami Hakiki dan Aizul Yazid Zamri masing-masing ditempat kedua dan ketiga.

Para pelapis pasukan golf Sabah bergambar dengan piala dan pingat kemenangan mereka. Gambar SNT/Ihsan MSN

Mohd Miqami Azman, 13, memenangi pingat emas kedua dengan menjuarai kategori lelaki bawah 15 tahun mengatasi naib johan Mohd Syami Syazwan dan pemenang tempat ketiga Muhd Asyraaf, kedua-duanya juga dari Labuan.

Dalam kategori lelaki bawah 12 tahun, bakat-bakat muda dari Sabah menguasai tiga kedudukan teratas di mana Jared Steve Madis,11 muncul selaku juara sambil Muhd Darwisy Shahkeel dan Aliff Aryan Sabli masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Dalam persaingan kategori perempuan, Sofiani Jani,13 dan Marisah Steve Madis memastikan kedudukan satu dua untuk Sabah dalam peringkat bawah 15 tahun sambil Lailatul Huda Munawwarah (Labuan) menduduki tempat ketiga.

Pingat emas terakhir menerusi peringkat umur bawah 12 tahun menjadi milik Dynneva Joyce Donnie, 11, selepas menewaskan Nur Fatin Syamimi dari Labuan sambil Caleigh Chua dari Sabah menduduki tempat ketiga.

Kejohanan ini dianjurakan oleh Edugolf Wilayah Persekutuan Labuan yang diketuai oleh Pengarah Pendidikan Labuan; Tuan Raisin Saidin yang mana turut menyempurnakan majlis penyampaian hadiah.

Pasukan Sabah menyertai kejohanan itu dengan diiringi bersama Pengerusi Teknik Pembangunan Sukan Sabah; Tuan Jius @ Md Yussof Usiu dan jurulatih Donnie Intung.-SabahNewsToday