Pilih Bahasa

Pelari maut selepas pengsan ketika hampir menamatkan Unicef Borneo Marathon

Oleh Chris Maskilone


KOTA KINABALU: Seorang pelari berumur 56 tahun meninggal dunia sejam selepas jatuh pengsan hanya beberapa ratus meter daripada garis penamat Unicef Borneo Marathon di sini pagi tadi.

Mangsa dikenalpasti sebagai Bitah Sabenting daripada Kota Belud menyertai acara larian 10km yang dilepaskan pada jam 6 pagi di Stadium Likas.

Pegawai perubatan dan rakan pelari sedang memberi bantuan kepada mangsa selepas jatuh pengsan. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

Mangsa tiba dengan keluarganya di Stadium Likas untuk menyertai acara tersebut lebih kurang jam 4.45 pagi tadi, menurut Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, ACP Habibi Majinji.

Laluan larian 10km itu ialah daripada Stadium Likas ke bulatan Pelabuhan di mana pelari berpatah balik ke Tanjung Lipat terus ke bulatan Masjid Bandaraya dan berpatah balik untuk menuju ke garisan penamat di Stadium Likas.

Pelari berkenaan sedang disediakan untuk menaiki ambulans. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

Lebih kurang jam 7.45 pagi, Bitah yang sedang berlari di tepi jalanraya bersebelahan Stadium Likas tiba-tiba jatuh pengsan.

Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth Dua dan disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 8.45 pagi.

Habibi berkata kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth Satu untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian.

Siasatan masih diteruskan, katanya.-SabahNewsToday