Pilih Bahasa

Pelbagai agensi komited bantu Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Sabah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Pengaktifan Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Sabah (PKOB) yang beroperasi 24 jam sejak diaktifkan pada 18 Mac lalu bertujuan menyelaraskan operasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata penubuhan PKOB itu juga adalah untuk menyelaraskan pelaksanaan keputusan oleh Sabah Covid-19 Command Centre.

Shafie bercakap dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara, Negeri Sabah di Tingkat 26 PPNS. Gambar SNT/Ihsan JKM

Menurut beliau sebanyak sembilan agensi dan pasukan keselamatan terlibat dalam PKOB tersebut, iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Relawan Malaysia (Rela), Jabatan Kebajikan Am, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Imigresen dan Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan.

“Sebagai langkah kawalan dan menangani penularan wabak ini, Sabah Covid-19 Command Centre telah membuat keputusan dan mengarahkan pelaksanaan pelbagai inisiatif.

“Selain itu kerajaan negeri juga telah membangunkan sebuah laman sumber yang mengandungi maklumat penting daripada sumber-sumber rasmi bertujuan pemantauan situasi terkini perkembangan Covid-19 di Sabah serta memberikan maklumat sahih kepada rakyat,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara, Negeri Sabah di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini, hari ini.

Terdahulu pada sebelah pagi, Mohd Shafie mengadakan lawatan ke Sabah Covid-19 Command Centre dan mengagihkan bekalan penutup hidung dan mulut serta pembersih tangan kepada kakitangan dan petugas di pusat tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut mengulangi komitkan kerajaan negeri terhadap kebajikan pelajar Sabah di dalam dan luar negeri yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Menurut beliau, bantuan kewangan sebanyak RM200,000 telah disalurkan kepada Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Kuala Lumpur untuk memberikan bantuan kepada pelajar di luar dari Sabah.

Katanya bagi pelajar dalam negeri, pihakya bekerjasama dengan pengurusan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Sabah memantau dan memberikan khidmat bantuan dan menangani masalah para pelajar.

Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan negeri telah mewartakan sebanyak 42 pusat kuarantin di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Ranau, Lahad Datu, Kinabatangan, Semporna, Keningau, Tuaran dan Kota Belud. – SabahNewsToday