Pilih Bahasa

Pelbagai usaha dilihat tangani siaran media sosial gugat ketenteraman awam – Gobind

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kerajaan bakal melihat pelbagai cara dalam usaha menangani siaran media sosial berkaitan agama serta bangsa boleh memberi kesan negatif ke atas keselamatan negara mahupun ketenteraman awam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata kementeriannya sudah mendapat maklum balas serta melakukan perbincangan berkaitan isu berkenaan sejak tahun dan akan mencari solusi untuk mengatasinya.

Gobind (dua dari kanan) ketika meninjaua pameran berkaitan dekoder myFreeview sempena Majlis Penyerahan Dekoder myFreeview Kepada Isi Rumah B40 dan Orang Kurang Upaya (OKU) di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

“Pelbagai pendapat berbeza tentang cara  menangani masalah ini.

“Ia adalah kekangan yang dihadapi bukan sahaja di Malaysia tetapi negara lain di seluruh dunia,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Dekoder myFreeview Kepada Isi Rumah B40 dan Orang Kurang Upaya (OKU), dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab  soalan pihak media mengenai samaada kerajaan sedang merangka sebarang dasar untuk menangani penyiaran media sosial provokasi berkaitan bangsa dan agama yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat.

Walau bagaimanapun, Gobind menyatakan terdapat undang-undang yang mencukupi untuk bertindak atas penyiaran seumpama itu.

Gobind ketika berucap pada Majlis Penyerahan Dekoder myFreeview Kepada Isi Rumah B40 dan Orang Kurang Upaya (OKU) di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

Dalam pada itu, Gobind menasihat orang awam supaya sentiasa berhati-hati ketika membuat penyataan atau berkongsian di semua laman sosial.

Beliau berkata ia bertujuan bagi mengelakkan masyarakat membuat sebarang ancaman kerana individu berkaitan boleh diambil tindakan di bawah undang-undang.

Sementara itu, Gobind menyatakan sebanyak 1.81 juta unit dekoder myFreeview sudah diedarkan di seluruh negara.

Selain itu, sebanyak 228,767 unit dekoder diperuntukkan untuk edaran di Sabah.

Menerusi jumlah itu, lebih 170,000 unit dekoder myFreeview sudah diberikan kepada penerima dan masih terdapat 51,000 dekoder akan diserahkan tidak lama lagi.-SabahNewsToday