Pilih Bahasa

Pelihara keharmonian, elak perbalahan dan sengketa

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KEMABONG: Perpaduan merupakan elemen penting dalam mengekalkan keharmonian pelbagai etnik di Malaysia kerana tanpanya kemerdekaan dan kedaulatan negara yang dipupuk sejak sekian lama boleh terjejas serta lenyap begitu sahaja.

Jamawi (tiga dari kanan) dan Nurita mengiringi Azis (tengah) melawat tapak cadangan pembinaan Balai Polis Kemabong. – Gambar SNT/Ihsan Dun Kemabong

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong, Jamawi Jaafar berkata perpaduan yang kukuh antara rakyat mampu menjana kejayaan dan kecemerlangan bagi kesejahteraan serta kemakmuran negara.

“Negara memerlukan kesatuan yang utuh di kalangan semua golongan masyarakat tanpa mengira fahaman agama dan bangsa.

“Sebarang perasaan sangsi, curiga dan ketidakpuasan hati antara kaum yang diterjemahkan secara berlebihan hanya akan mewujudkan ketidakstabilan serta persengketaan yang akhirnya merugikan semua pihak,” katanya ketika berucap sempena sambutan Krismas dan Tahun Baharu peringkat Dun Kemabong di Dataran Terbuka Kemabong di sini, semalam.

Sambutan tersebut dianjurkan bersama Pejabat Dun Kemabong; Pejabat Parlimen Tenom dan Majlis Gereja Gereja Kemabong yang turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman; Ahli Parlimen Tenom Norita Sual serta lebih dari 4,000 pengunjung.

Jamawi turut mengajak rakyat di kawasan itu agar merenungkan perjuangan orang lama yang bertungkus lumus mendapatkan keamanan dan kemerdekaan negara ini.

“Adakah kita sebagai pewaris akan membiarkan kemakmuran negara itu runtuh begitu sahaja disebabkan perbalahan dan sengketa antara kita,” katanya.

Oleh itu Jamawi berkata hubungan baik dalam kalangan etnik di negeri ini adalah amat penting demi menjamin kestabilan ekonomi dan politik di negara.

Katanya Sabah adalah ikon perpaduan kaum yang wajar dicontohi kerana walaupun terdiri dari pelbagai kaum dan agama namun keharmonian rakyatnya terus dipertahankan. – SabahNewsToday