Pilih Bahasa

Pelihara kemeriahan sambutan hari raya, landasan kukuh perpaduan

SEMPORNA, 5 Jun (Bernama) — Sambutan perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri perlu terus dipelihara kemeriahannya kerana perayaan seumpama itu merupakan landasan terbaik bagi memupuk serta mengukuhkan perpaduan masyarakat majmuk di Sabah.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Hari Raya Aidilfitri bukan lagi hanya untuk orang Melayu atau Islam tetapi di Sabah perayaan itu untuk semua.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (kiri) dan Adun Sulaman Datuk Seri Hajiji Noor (kanan) dalam majlis Iftar di Tuaran baru-baru ini. Gambar Fail SNT

“Ia seperti Pesta Kaamatan baru-baru ini pelbagai kaum dan semua lapisan masyarakat meraikannya.

“Ini landasan menyatukan rakyat, pelbagai rakyat, jangan ada perkauman, kita nampak pada hari ini, Hari Raya Aidilfitri tapi ada lagu Kaamatan didendangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Ketua Menteri Sabah di kediamannya di sini, hari ini.

Pada majlis itu kira 5,000 orang menghadiri rumah terbuka berkenaan yang menyediakan pelbagai jenis juadah makanan serta persembahan artis tempatan.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berharap dengan platform berkenaan, rakyat negara ini akan terus bersatu bagi mencapi agenda pembangunan negara.

“Kalau sekiranya tiada persefahaman, kita tidak mampu menterjemahkan negara ini sebagai negara yang membangun,” katanya.

Menurut Mohd Shafie, satu daripada resepi sebuah negara itu membangun adalah kerana kesatuan rakyat, selain tokoh kepimpinan serta pelaksanaan dasar-dasar pembangunan.

— BERNAMA