Pilih Bahasa

Peluang saksikan Festival Sabah di lapan lokasi terpilih

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Christina (tengah) melancarkan Sabah Fest 2019 di Laman Budaya, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Festival Sabah atau lebih dikenali sebagai Sabah Fest 2019 dilancarkan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew dalam upacara penuh warna warni menerusi persembahan menarik daripada artis Lembaga Kebudayaan Sabah di Wisma Budaya Laman Seni malam ini.

Dalam ucapannya Christina berkata festival kali ini bertemakan `A Celebration of Sabah’s Natural Charms’ akan diadakan selama tiga minggu di sebanyak lapan lokasi bermula di Laman Seni Kota Kinabalu hari ini.

Menurut beliau lokasi lain termasuk pusat beli belah Oceanus Waterfront, Imago, Center Point Sabah, Suria Sabah, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) dan Pasar Malam serta Pasar Minggu di Jalan Gaya.

Persembahan Magunatip yang mencuri tumpuan pada pelancaran Sabah Fest 2019. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Antara persembahan tradisional yang dipertontonkan kepada pengunjung adalah tarian Sumazau, Igal-Igal, Dansa Cocos dan Anggalang Magunatip daripada komuniti Murut di Sabah.

“Selain itu bagi menarik lebih ramai pengunjung menyaksikan Festival Sabah tahun ini kita akan mengadakan Pertandingan Hello Fotografi Sabah dan pemenang bakal menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1,500 untuk gambar kompilasi kebudayaan terbaik daripada kesemua persembahan di lokasi,” katanya.

Dalam pada itu Christina merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar menambah usia Festival Sabah genap 31 tahun penganjurannya sejak ia mula diperkenalkan pada 1988 sebagai simbolik kepelbagaian seni serta budaya di negeri itu.

Christina (tengah) bersama tetamu jemputan merakamkan gambar selepas melancarkan Sabah Fest 2019 di Laman Budaya, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Beliau berkata kekayaan seni dan budaya Sabah sering ditonjolkan dalam setiap persembahan Festival Sabah, namun ia telah berkembang kepada bentuk pertunjukkan pentas dan cerita rakyat (folklore).

Sebagai contoh katanya Persatuan Kebudayaan Kesenian Warisan Tobilung Sabah dari Kota Marudu dan Persatuan Simunul Semporna turut mempersembahkan tarian etnik masing-masing dalam acara perasmian.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai mengambil peluang untuk menyaksikan Festival Sabah sekaligus menyokong usaha kerajaan dalam mempromosikan budaya negeri ini kepada pelancong luar negara. – SabahNewsToday