Pilih Bahasa

Peluru hidup cuba dibawa keluar pelancong China sebagai kenangan-kenangan dirampas

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Polis merampas sebanyak empat peluru hidup daripada sekumpulan pelancong China ketika menjalani pemeriksaan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata peluru hidup yang sudah diselaputi kerang itu ditemui oleh kumpulan pelancong China berusia 50 hingga 70 tahun di kawasan pantai Tanjung Aru, sehari sebelum kejadian itu.

Habibi ditemui media selepas dialog. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

“Mereka (pelancong China) mengambil lalu menyimpan peluru hidup berkenaan kerana beranggapan ia unik selain dijadikan sebagai kenangan ketika melancong di sini.

“Soal siasat juga mendapati pelancong China itu mendakwa tiada pihak yang memaklumkan kepada mereka bahawa memiliki peluru adalah perbuatan yang dilarang di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi dialog bersama Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), di sini hari ini.

Menurutnya, kumpulan pelancong itu ditahan sementara di LTAKK ketika pemeriksaan bagasi sebelum pulang ke negara asal mereka.

Habibi menerima cenderamata daripada Matta selepas dialog tersebut. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

Mengulas lanjut, Habibi berkata pengusaha pelancongan bertanggungjawab mendedahkan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di Malaysia kepada pelancong.

“Ini bagi memastikan pelancong menghadapi masalah jika berkunjung ke sini.

“Bagaimanapun masalah pelancong di sini masih berada pada tahap positif dan hanya beberapa masalah terpencil,” katanta. -SabahNewsToday