Pilih Bahasa

Pemain kebangsaan Nabimia, Petrus Shitembi turut sama skuad Tambadau untuk pra-musim di Surabaya

Oleh Chris Maskilone

Skuad Tambadau bergambar di Lapangan Terbang sebelum berlepas ke Indonesia awal pagi tadi. Gambar SNT/Ihsan Safa

KOTA KINABALU: Pengurusan skuad Tambadau Sabah menyenaraikan 24 pemain termasuk seorang calon import dari Namibia, Petrus Shitembi untuk persediaan pra-musim di Surabaya, Indonesia.

Pasukan berlepas ke Indonesia pagi tadi untuk menyertai kejohanan Piala Governor Jawa Timur yang akan dijadikan sebagai medan persiapan Tambadau Sabah menghadapi Liga Super yang bakal berlangsung kurang satu bulan lagi.

Pengurus pasukan Henry Soimpon berkata tinggal satu lagi slot pemain import untuk mengisi kekosongan di bahagian tengah.

Calon untuk posisi ini, Shitembi adalah pemain tengah kebangsaan Namibia dan kesesuaian pemain berusia 27 tahun itu dengan Tambadau akan dinilai di Indonesia.

Petrus Shitembi. Gambar SNT/Kredit wamboesbelike.com

Shitembi telah menyarung jersi pasukan kebangsaan Namibia sebanyak 60 kali dan menjaringkan empat gol.

Menurut Henry skuad Tambadau terlebih dahulu akan mengadakan perlawanan persahabatan bertemu Persebaya Surabaya pada Sabtu ini sebelum bersaing merebut Piala Gabenor Jawa Timur yang bermula pada 10 Februari.

“Seperti yang telah dikatakan oleh presiden Safa, Datuk Peter Anthony, pasukan tidak meletakkan apa-apa sasaran dalam kejohanan ini kerana apa yang penting adalah mencari keserasian di kalangan pemain,” katanya.

Dalam kejohanan Piala Governor Jawa Timur, skuad Tambadau diundi dalam Kumpulan B bersama pasukan top Indonesia Persija Jakarta serta Arema FC (H) dan Persela Lamongan.

Kumpulan A pula terdiri Madura United (H), Persebaya Surabaya, Persik Kediri dan Bhayangkara FC.

Barisan pemain Skuad Tambadau: Rozaimie Rohim, Dendy Lowa, Evan Wensley Wenceslaus, Jenius Karib, Mafry Balang, Randy Baruh Samson, Rawilson Batuil, Alto Linus, Maxsius Musa, Mohd Azizan Nordin, Ricco Nigel Milus, Sabri Sahar, Ummareng Bacok, Hamran Peter, Mohd Azwan Abd Fattah, Mazlan Yahya, Ariusdius Jais, Mohd Shukri Baharun, Muhammad Zubir Mohd Azmi, Wan Muhammad Azraie Wan Teh, Rodoljub Paunovic, Park Tae Su, Hector Ramos dan Dennis Buschening.-SabahNewsToday