Pilih Bahasa

PEMAIN SABAH PERLU BUKTI KEMAMPUAN SEBENAR: MOHD SHAFIE

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada sidang media selepas melancarkan jersi pasukan bola sepak Sabah di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin kemampuan skuad Sabah untuk melangkah lebih jauh dalam saingan Liga Malaysia musim ini apatahlagi dengan adanya pengurusan baharu persatuan itu.

Mohd Shafie berkata Sabah sebenarnya mempunyai ramai pemain berkebolehan dan mampu membawa pasukan kembali beraksi di Liga Super musim depan.

“Saya yakin jika pemain lebih fokus dengan latihan dan mempunyai kesungguhan dalam setiap perlawanan, sudah tentu prestasi pasukan dapat tingkatkan berbanding musim lalu.

“Tambahan pula setelah pengurusan baharu mengambil alih SAFA, saya berharap kita semua dapat saling membantu memperbaiki persembahan Sabah agar lebih mantap kali ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jersi Bola Sepak Sabah dan Pengenalan Pemain Musim 2019 di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Madius Tangau; Menteri Pembangunan Infrastruktur merangkap pemangku Presiden SAFA, Datuk Peter Anthony; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Ewon Benedict dan Pembantu Menteri Kewangan, Kenny Chua.

Turut hadir ialah dua Timbalan Presiden SAFA iaitu Hamid Apdal dan Datuk Rahman Zakaria; Pengurus Pasukan, Henry Soimpon; Setiausaha Agung, Andrew Majanggim dan Bendahari Agung, Yap Wai Loon.

Dalam pada itu Mohd Shafie menegaskan perlunya pengurusan baharu SAFA agar mengurus tadbir persatuan terutama daripada aspek kewangan dengan bijak.

‘SAFA kena pastikan kewangan dapat dimantapkan. Itu perlu kerana banyak hutang pasukan perlu dibayar selain isu gaji pemain kena diselesaikan.

“Kerajaan negeri akan cuba membantu tetapi bukan semua hutang kita kena bayar, jumlah itu banyak bukan sedikit.

“Oleh itu, sekiranya pemain dapat menunjukkan prestasi baik dalam setiap perlawanan, tidak mustahil banyak pihak mahu menaja pasukan ini,” katanya. – SabahNewsToday