Pilih Bahasa

Pemain Tambadau Sabah teruskan latihan di rumah, kekalkan kecergasan semasa PKP

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Para pemain Tambadau Sabah berlatih sendiri di rumah masing-masing dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memastikan kecergasan mereka sentiasa berada pada tahap terbaik.

Pengurus pasukan, Henry Soimpon, berkata latihan kecergasan kesemua pemain juga dipantau menerusi aplikasi Whatsapp di mana mereka wajib menghantar video latihan.

Ketua Pasukan Tambadau Rawilson Batuil berlatih sendiri. Gambar SNT/Ihsan Safa

“Program latihan juga disusun atur oleh jurulatih kecergasan, Sofie (Imam Faizal) dan kadang-kadang mereka berlatih secara langsung menggunakan ‘video call’.

“Tidak dinafikan PKP yang diumumkan kerajaan menjejaskan pasukan terutama dari segi latihan

“Bagaimanapun, kami akur dan patuh dengan perintah berkenaan, apa yang boleh kami lakukan adalah mengekalkan kecergasan pemain,” katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.

Henry berkata selain menjalani latihan di rumah, para pemain juga diingatkan supaya mematuhi PKP dengan tidak keluar rumah jika tiada urusan penting.

“Kita mahu mereka kekal cergas dan kita juga mahu mereka bebas dari sebarang penyakit termasuk Covid-19 yang telah meragut banyak nyawa,” katanya.

Setakat empat aksi Liga Super musim ini, skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto itu kini berada di kedudukan ke-empat liga selepas mencatat satu kemenangan, dua kali seri serta satu kekalahan.

Tambadau sebelum ini mencatat keputusan seri 0-0 dengan PDRM dalam aksi pertama di gelanggang lawan seterusnya menang 3-1 ke atas Felda United di Stadium Likas.

Bagaimanapun, rekod tanpa kalah mereka lebur di perlawanan ketiga apabila kecundang 0-2 kepada Pahang di Kuantan.

Aksi terakhir Tambadau sebelum saingan Liga Super direhatkan akibat wabak Covid-19 menyaksikan mereka mencatat keputusan seri 2-2 dengan Perak di gelanggang sendiri.-SabahNewsToday