Pilih Bahasa

Pemaju ingin perkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri pacu pembangunan ekonomi

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda) terus komited bekerjasama bersama kerajaan negeri dalam menggalakkan pembangunan ekonomi di negeri ini.

Presiden Shareda, Chew Sang Hai berkata pihaknya menyahut saranan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal supaya pemaju tempatan melaksanakan lebih banyak projek hartanah di negeri berkenaan walaupun keadaan ekonomi semasa ketika ini dilihat agak mencabar.

Chew (tiga dari kanan) bersama Pengerusi Penganjur Shareda Nite 2019, Roy Chiew (dua dari kiri) serta ahli jawatankuasa Shareda pada sidang media Shareda Nite 2019 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Perkara ini juga sudah dibincangkan bersama semua ahli Shareda dan mereka setuju bagi membawa masuk lebih banyak projek hartanah sekaligus melaksanakannya demi kemajuan pembangunan negeri ini.

“Saya pastinya gembira melihat ahli Shareda yang memberikan respon positif dan sentiasa menyahut saranan kerajaan negeri untuk melabur serta membuat projek baharu di Sabah.

“Kita lihat ini adalah salah satu langkah terbaik untuk Shareda membantu negeri ini meningkatkan ekonomi selain mewujudkan banyak pekerjaan bagi golongan muda di sini,” katanya ketika sidang media Shareda Nite 2019, dekat sini, hari ini.

Berlangsung di The Magellan Sutera Resort pada 20 September hadapan, acara tahunan itu dijangka bakal dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selain turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong.

Bakal dihadiri kira-kira 1,000 tetamu, semua tetamu yang hadir bakal dihiburkan oleh pelawak terkenal tanah air, Harith Iskander.

Dalam pada itu, berkata mengenai sasaran jualan sektor hartanah di Sabah, Chew menyatakan pihaknya meletakkan sasaran sebanyak RM600 juta ketika ini namun setakat ini jualan hanya sekitar hampir RM500 juta.

“Jualan hartanah di Pantai Timur Sabah dilihat mempunyai tahap jualan yang bagus walaupun sedang berdepan ekonomi sedikit mencabar.

“Lokasi kita maksudkan adalah Sandakan, Tawau dan Lahad Datu. Semua daerah ini menyumbang sebanyak 30 peratus daripada hasil jualan dalam bidang hartanah tahun ini.

“Kita yakin perkembangan ini akan terus meningkatkan dari semasa ke semasa selepas melihat petanda baik ini,” katanya. -SabahNews Today