Pilih Bahasa

Pemakaian baju tradisi selain musim perayaan beri peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah

Dari kiri: Pairin, Mohd Shafie, Madius dan Peter melakukan acara memotong padi sebagai simbolik penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di KDCA. – Gambar SNT/IhsanJKM

KOTA KINABALU, 31 Mei (Bernama) — Pemakaian baju tradisi selain pada musim perayaan dilihat mampu memberi manfaat khususnya peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.

Menjelaskan perkara itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, bahan-bahan untuk menghasilkan baju tradisi itu tidak diimport dari luar negara sebaliknya daripada bahan tempatan.

“Saya galakkan (memakai baju tradisi)…seumpama kita memakai baju batik, kenapa tidak pakai ini (baju tradisi). Kalau kita memakai pakaian budaya kita, orang akan membeli baju ini dan yang membuat (baju) bukan dari luar, ia dibuat dari tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian penutupan perayaan Pesta Kaamatan negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan (KDCA) Penampang di sini, hari ini. Turut hadir Huguan Siou merangkap Presiden KDCA Tan Sri Pairin Kitingan, menteri-menteri Persekutuan dan kabinet negeri.

Mohd Shafie berkata, pemakaian baju itu juga mampu menyatukan semua rakyat di negeri ini selain dapat memanfaatkan kekayaan warisan rakyat.

“Peralatan perayaan ini banyak kita hasilkan iaitu daripada tanjak, pakaian dan tali pinggangnya yang boleh dijual. Ia boleh dimajukan kalau kita galakkan mereka membeli dan memakainya, saya yakin ramai akan dapat manfaat,” katanya.

Pesta Kaamatan yang dilancarkan pada 1 Mei lepas berakhir hari ini dengan acara kemuncaknya pertandingan melibatkan 64 peserta merebut gelaran Ratu Unduk Ngadau untuk edisi tahun ini.

— BERNAMA