Pilih Bahasa

Pemandu bas pelancong ditahan rogol anak tiri

Oleh Junaidi Ladjana

TUARAN: Polis menahan seorang pemandu bas pelancong kerana didakwa merogol anak tirinya sebanyak lima kali pada Julai lalu di sini.

Lelaki berusia 47 tahun itu ditahan jam 1.05 pagi kelmarin di sebuah restoran di Kota Kinabalu, susulan laporan polis dibuat oleh ahli keluarga remaja perempuan terbabit.

Mangsa yang berusia 14 tahun pelajar di sebuah sekolah menengah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata dalam kejadian itu suspek merogol mangsa sebanyak lima kali pada Julai 2019 di dalam bilik mangsa.

“Mangsa tidak ingat tarikh sebenar namun kejadian (rogol) berlaku sebanyak lima kali ketika siang dan malam.

“Suspek mengambil kesempatan untuk merogol mangsa apabila terdapat peluang berdua-duan dengan mangsa di rumah berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Mohd Hamizi berkata, pihaknya yang menerima laporan berhubung kejadian itu pada 18 September jam 10.27 pagi dan berjaya mengesan seterusnya menahan suspek pada Isnin lalu di sebuah restoran di Kota Kinabalu.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula dia ditahan sehingga 29 September ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hamizi berkata, pihaknya sentiasa mengambil perhatian yang serius dalam mengatasi sebarang masalah seksual terutamanya yang membabitkan kanak-kanak. -SabahNewsToday