Pilih Bahasa

Pemandu bot penumpang maut, bot dilanggar

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Seorang pemandu bot penumpang maut manakala tujuh selamat selepas bot dinaiki mereka dirempuh sebuah lagi bot penumpang dalam kejadian di perairan laut Kampung Pondo, Pulau Gaya, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.20 malam itu, mangsa Madsahir Ladja Hindu, 38, yang dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), disahkan meninggal dunia, kira-kira jam 10 malam.

Bot penumpang (biru) yang dikendalikan mangsa. Gambar SNT / Ihsan IPD Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata ketika perlanggaran itu berlaku, mangsa bersama tujuh penumpang termasuk anak lelakinya berusia sembilan tahun dari Kota Kinabalu dan dalam perjalanan ke Kampung Pondo.

“Ketika berada di perairan laut dekat Kampung Pondo, tiba-tiba bot yang dikendali mangsa dipercayai dilanggar oleh sebuah bot penumpang dinaiki dua lelaki.

“Akibat rempuhan itu, mangsa terjatuh ke dalam laut dan hilang manakala tujuh penumpang melompat keluar dari bot dan berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke persisiran pantai kampung berkenaan.

“Bot yang melanggar itu terus melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata mangsa ditemui oleh orang ramai di kawasan kejadian sejam selepas perlanggaran berlaku sebelum mangsa dihantar ke HQE I untuk rawatan lanjut.

“Mangsa yang dirawat di Wad Kecemasan HQE I disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10 malam tadi.

“Pada jam 2.52 pagi tadi, anggota polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 24 tahun kerana disyaki terbabit dalam kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 304/280 Kanun Keseksaan,” katanya. -SabahNewsToday