Pilih Bahasa

Pemandu cedera ringan kereta jatuh gaung 60 meter

Oleh Junaidi Ladjana

TUARAN: Seorang lelaki terselamat walaupun kereta yang dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam gaung sedalam 60 meter di Jalan Tamparuli – Kundasang, dekat sini semalam.

Mangsa Celson Leesoon, 26, yang dikeluarkan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan penyelamat (BBP) Tuaran bernasib baik selepas hanya mengalami cedera ringan.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam gaung sedalam 60 meter di Jalan Tamparuli – Kundasang. -Gambar SNT / Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan jam 7.46 malam, pasukan bomba dari BBP Tuaran dikejarkan ke lokasi melalui jarak sejauh 40 kilometer dari balai dengan dua jentera bersama tujuh anggota.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian pasukan bomba mendapati terdapat sebuah kereta jenis Perodua Axia terjunam ke dalam gaung sedalam 60 meter.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi bagi mengeluarkan mangsa yang masih berada dalam kereta yang terbalik,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Katanya, sebaik berjaya dikeluarkan, mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan bomba selepas berjaya dikeluarkan daripada keretanya yang terjunam ke gaung. -Gambar SNT / Ihsan Bomba

“Mangsa kemudian dihantar ke hospital berhampiran menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut dan hanya mengalami cedera ringan.

“Operasi menyelamat tamat sepenuhnya kira-kira jam 11 malam,” katanya. -SabahNewsToday