Pilih Bahasa

Pemandu kereta sewa ramas paha penumpang ditahan

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditahan pihak berkuasa kerana dipercayai mencabul seorang wanita dalam sebuah kenderaan di Kepayan Ridge pada 18 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata suspek ditahan kira-kira pukul 2.05 petang pada hari yang sama kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (tengah). Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Dalam kenyataannya hari ini Habibi berkata sebelum itu mangsa menaiki bas dari Kota Belud menuju ke HQE1 Kota Kinabalu.

Bagaimanapun mangsa bersama beberapa penumpang lain diturunkan oleh pemandu bas di Terminal Bas Bandaran Kota Kinabalu dan diminta menggunakan khidmat kereta sewa kerana pemandu bas berkenaan mempunyai urusan penting.

Habibi berkata mangsa bersama penumpang lain menggunakan khidmat kereta sewa jenis Perodua Kancil hijau dipandu suspek.

“Mangsa duduk di bahagian hadapan sebelah penumpang. Selesai menghantar seorang penumpang di Kepayan mangsa meminta pemandu menghantarnya ke HQE1 Kota Kinabalu.

“Apabila tiba di bulatan suspek telah memandu keretanya masuk ke Jalan Kepayan Ridge dan setibanya di kawasan bukit, suspek masuk ke simpang kanan iaitu Jalan Bukit Bunga Raja serta memberhentikan keretanya lalu bertindak meramas paha kanan mangsa,” katanya

“Terkejut dengan dengan tindakan suspek itu mangsa memarahi suspek dan mengatakan dirinya sudah bertunang dengan menunjukkan gambar muka abangnya di dalam telefon milik mangsa.

“Suspek kemudian menghantar mangsa ke hostel pekerja kantin Hospital Queen Elizabeth 1(HQE1). Mangsa yang marah dengan tindakan suspek menceritakan kejadian itu kepada abangnya yang menasihati mangsa agar membuat laporan polis,” katanya.

Habibi menegaskan pihak polis memandang serius kejadian itu dan akan mengambil tindakan terhadap pesalah yang melakukan jenayah mencabul kehormatan ini. – SabahNewsToday