Pilih Bahasa

PEMANDU MAUT DALAM KEMALANGAN JALANRAYA

Oleh Alfred Petrus

Pasukan bomba berusaha mengeluarkan mangsa kemalangan di Jalan Merotai. Gambar SNT/Ehsan Bomba

TAWAU: Seorang pemandu maut di tempat kejadian selepas kenderaannya terbabas sendiri lalu terbalik di Jalan Merotai petang tadi.

Pegawai Bomba Kanan (PBK) Dua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Alipoldos Timbang berkata pihaknya berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaannya itu.

Walaubagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux,” katanya sambil menambah tiada maklumat mangsa diperolehi.

Ketika dalam perjalanan pulang ke balai, Alipoldos bersama lima lagi anggotanya mendapat panggilan mengenai satu lagi kemalangan di Jalan Kalabakan.

Katanya kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori balak yang terbabas di bahu jalan.

“Terdapat seorang mangsa lelaki dewasa terlibat dalam kemalangan tersebut.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dan dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan Persatuan Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan.

“Tiada operasi menyelamat dilakukan dan pemeriksaan di sekitar lokasi dijalankan bagi memastikan keadaan selamat,” jelasnya. -SabahNewsToday