Pilih Bahasa

PEMANDU MAUT, KENDERAAN BERTEMBUNG LORI YANG HILANG KAWALAN

Oleh Alfred Petrus

Bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dibahagian pemandu selepas pertembungan dengan sebuah lori yang hilang kawalan di Jalan Kionsom, Inanam. Gambar SNT/Ehsan IPD Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Seorang pemuda maut selepas kenderaan yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan dalam satu kemalangan awal pagi Sabtu, di Jalan Kiansom, Inanam dekat sini.

Mangsa, Wempy Faizal, 22 tahun, yang memandu kenderaan jenis Isuzu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Likas manakala penumpangnya seorang warga Indonesia berusia 36 tahun mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, siasatan awal di tempat kemalangan mendapati pemandu lori berusia 26 tahun yang sedang menuju ke arah Inanam hilang kawalan kenderaannya itu dan terlanggar kenderaan jenis Chevrolet yang berhenti di tepi jalan berhampiran Speedline Auto Accessories & Aircon.

Kenderaan Chevrolet yang berhenti di tepi jalan dilanggar dari belakang oleh lori tersebut sebelum ianya hilang kawalan dan melanggar satu lagi kenderaan dari arah bertentangan di Jalan Kionsom, Inanam. Gambar SNT/Ehsan IPD Kota Kinabalu

Selepas melanggar kereta Chevrolet itu, lori tersebut terus terpusing dan terlanggar kenderaan mangsa yang datang dari arah bertentangan kira-kira jam 2.50 pagi tadi, katanya.

Pemandu lori berkenaan yang beralamat di Tamparuli tidak mengalami kecederaan.

Keadaan hadapan lori yang hilang kawalan dan melanggar pacuan empat roda yang datang dari laluan bertentangan. Gambar SNT/Ehsan IPD Kota Kinabalu

Habibi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan keadaan melulu sehingga menyebabkan kemalangan maut yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun tetapi tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM5,000 tetapi tidak melebihi RM20,000.

Jelasnya, jika sabit kesalahan, boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang tiga tahun dari tarikh sabitan dan dalam hal sabitan kali kedua atau berikutnya, hilang kelayakan selama tempoh 10 tahun dari tarikh sabitan.

Keadaan pacuan empat roda yang remuk pada bahagian hadapan setelah dilanggar oleh sebuah lori yang hilang kawalan di Jalan Kionsom, Inanam. Gambar SNT/Ehsan IPD KOTA KINABALU

“Semua pengguna jalan raya adalah dinasihatkan agar mengamalkan pemanduan berhemah, merancang perjalanan dengan sempurna bagi mengelakkan memandu dalam keadaan tergesa-gesa dan memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik sebelum memulakan  perjalanan,” katanya. -SabahNewsToday