Pilih Bahasa

Pemandu, penumpang Myvi maut

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Pemandu dan penumpang maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan pacuan empat roda di Kilometer 55, Jalan Tawau-Semporna, dekat sini, petang tadi.

Dalam 3.35 petang itu, mangsa dikenali Sutrisno, 25, yang memandu kenderaan jenis Perodua Myvi meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Balung.

Anggota bomba cuba mengeluarkan kedua-dua mangsa di dalam kenderaan jenis Perodua Myvi. Gambar SNT / Ihsan Bomba Semporna

Penumpang wanita dikenali Gyatri Usman, 21, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik yang sama.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata kejadian berlaku ketika kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun dipercayai sedang dalam perjalanan dari arah Tawau menuju ke Semporna bersama tiga ahli keluarganya yang lain.

“Kemalangan berlaku apabila pemandu pacuan empat roda terbabit cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya namun gagal lalu bertembung dengan kenderaan Perodua Myvi yang dinaiki kedua-dua mangsa.

“Kita turut memperoleh rakaman kejadian kemalangan terbabit daripada kamera yang dipasang pada kenderaan seorang saksi yang ketika itu berada di belakang kenderaan pacuan empat roda.

“Akibat kemalangan itu, pemandu perodua Myvi meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan manakala penumpang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Balung,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata seorang penumpang di bahagian belakang kenderaan Toyota Hilux mengalami kecederaan dan masih menerima rawatan di Hospital Tawau.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan melulu hingga menyebabkan kematian,” katanya. – SabahNewsToday