Pilih Bahasa

Pembahagi jalan dari Harbour City ke Ming Garden dipasang pagar

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Pagar sepanjang 650 meter akan dipasang di sepanjang pembahagi jalan bermula dari lampu isyarat Harbour City sehingga jambatan berhampiran Ming Garden, kata Ahli Parlimen Chan Foong Hin.

Chan berkata kos pemasangan pagar tersebut yang dianggarkan RM200,000 akan ditampung menggunakan peruntukan Ahli Parlimennya.

Chan (kanan) menerima petisyen daripada 116 pemilik unit Sutera Avenue meminta bantuannya supaya jejantas dihadapan pembangunan komersial itu dapat dibina seperti yang dijanjikan oleh pihak pemaju. Gambar SNT/Chris Maskilone

Tujuan pemasangan pagar itu bertujuan menghalang pejalan kaki terutama pelancong-pelancong yang tinggal di hotel sekitar kawasan daripada menyeberangi Jalan Coastal yang sibuk dengan lalulintas.

“Saya sudahpun meminta DBKK menyediakan pelan rekabentuk dan ianya sekarang tertakluk kepada kelulusan daripada Pejabat Pembangunan Sabah (SDO).

“Peruntukan Ahli Parlimen saya berada dibawah seliaan unit implementasi dan koordinasi Jabatan Perdana Menteri. Kelulusan biasanya mengambil masa tiga minggu sehingga satu bulan,” katanya.

Chan berharap kerja-kerja pemasangan dapat dimulakan selepas bulan Ramadan.

Beliau berkata demikian selepas menerima petisyen daripada 116 pemilik unit Sutera Avenue yang meminta pertolongan daripadanya bagi menyelesaikan isu pembinaan jejantas seperti yang dijanjikan oleh pemaju di sana pada Khamis.

Chan meminta agar pihak pemaju berkenaan mengotakan berjanji untuk membina jejantas berkenaan kepada pemilik unit dan juga Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) beberapa tahun lalu.

“Saya bersimpati dengan para pemilik unit ini dan sebagai Ahli Parlimen Kota Kinabalu saya akan memainkan peranan.

“Pada masa yang sama, saya juga menyeru agar pihak pemaju turut menunaikan janji secepat mungkin,” katanya.

Menurut Chan, jejantas tersebut amat diperlukan memandangkan Jalan Coastal merupakan jalanraya yang sibuk dengan lalulintas dan tambah membimbangkan beberapa kejadian kemalangan melibatkan pejalan kaki terutama pelancong sudahpun berlaku.

Sementara itu, pemilik unit Sutera Avenue yang diketuai oleh pasangan suami isteri Pete Wong Tuck Meng dan Kelly Tai Siew Yong memberitahu bahawa pihak pemaju telah berjanji membina jejantas tiga tahun lalu namun sehingga kini belum lagi nampak bayangnya.

Menurut Kelly, pihak pemaju Sutera Avenue, Mah Sing Group dalam satu mesyuarat pengurusan dengan para pemilik unit pada 14 Mac tahun ini memberitahu bahawa satu rekabentuk baharu sedang dibuat berikutan cadangan dari pihak Jabatan Kerja Raya supaya jejantas yang lebih panjang dibina.

Menurutnya, pegawai-pegawai pihak pemaju menyatakan mereka memerlukan lebih kurang tiga minggu untuk menyediakan pelan rekabentuk jejantas baharu.

Namun selepas tempoh tiga minggu tersebut sehinggalah sekarang pelan rekabentuk baharu masih belum kelihatan, katanya.

Oleh itu mereka terpanggil untuk menandatangan petisyen meminta pertolongan Ahli Parlimen Kota Kinabalu menyelesaikan pembinaan jejantas ini, katanya.-SabahNewsToday