Pilih Bahasa

PEMBANGUNAN BELIA DIBERI KEUTAMAAN

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Jamawi (kanan) ditemani kakitangan SK Baru Jumpa meninjau kerosakan jalan raya di kawasan sekolah itu yang memerlukan pembaikan segera. – Gambar SNT / ehsan Jaafar Wahid

KEMABONG: Keupayaan golongan muda yang memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran diperlukan bagi memacu kepesatan pembangunan negara ke tahap yang lebih tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Jamawi Jaafar berkata, sehubungan itu kerajaan negeri komited bagi melipatgandakan usaha meningkatkan dan menambah baik potensi pembangunan belia melalui pendidikan dan kemahiran.

Jamawi berkata, langkah itu termasuk menyediakan hala tuju yang jelas, kerjaya dan kemahiran agar generasi muda berupaya menyumbang demi pembangunan negeri dan ke­sejahteraan rakyat pada keseluruhannya.

Jamawi (depan) melihat keadaan astaka SK Baru Jumpa yang mengalami kerosakan dan perlu diperbaiki. – Gambar SNT / ehsan Jaafar Wahid

“Kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar kepada golongan belia di negeri ini. Ini bukan sahaja bagi tujuan penyediaan kemudahan pendidikan, bahkan juga dalam aspek pembangunan belia dan kemahiran.

“Ini kerana peningkatan produktiviti, daya saing dan daya tahan negara memerlukan tenaga kerja yang kreatif, berdisiplin, berinovasi, mahir dan berpengetahuan dalam mengisi kemerdekaan negara  yang sebenarnya,” katanya dalam ucapan penutupan Karnival Akademik Kemuncak Bulan Kemerdekaan dan Hari Keluarga PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Baru Jumpa di sini.

Jamawi yang juga Pengerusi Kelab Penyokong kerajaan berharap pelajar khususnya di sekolah ini agar dapat melipatgandakan usaha mereka agar cemerlang dalam bidang akademik selain berusaha untuk mempelbagaikan kemahiran yang dapat membantu mereka dalam dunia pekerjaan.

Dalam pada itu, mengenai beberapa kemudahan asas seperti astaka dan jalan masuk ke sekolah itu yang mengalami kerosakan, Jamawi berkata, beliau akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan bagi membaik pulihnya.

Menurutnya, kerja pembaikan kemudahan di sekolah itu perlu demi keselesaan murid, guru dan masyarakat setempat di kawasan tersebut. – SabahNewsToday