Pilih Bahasa

Pembangunan bola sepak luar bandar perlu tumpuan: Hamid Apdal

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Satu permohonan menjadikan Tungku sebagai ahli bersekutu Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) telah dikemukakan kepada pengurusan tertinggi persatuan.

Timbalan Presiden Safa, Haji Hamid Apdal berkata buat masa ini Tungku termasuk dalam Safa Lahad Datu.

Hj Hamid Apdal dan isteri Dg. Azizah Mohd Yunus sedang melayani sebahagian tetamu yang hadir di rumah terbuka Aidilfitri beliau hari ini. Gambar SNT/Chris Maskilone

“Tetapi mereka (pengurusan daerah kecil Tungku) ada berjumpa dengan saya untuk memohon supaya mereka dikeluarkan daripada Lahad Datu dan dibentuk Safa Tungku.

“Saya sudah sampaikan perkara ini kepada pemangku presiden Safa Datuk Peter Anthony untuk pertimbangan,” katanya.

Ditemui semasa rumah terbuka Aidilfitri di rumahnya di Petagas hari ini, Hamid berkata fokus utama beliau ialah pembangunan bola sepak di luar bandar.

“Seperti yang saya nyatakan semasa saya bertanding (jawatan timbalan presiden Safa) dahulu, saya ingin sukan bola sepak berkembang di kawasan luar bandar.

“Oleh itu bagi saya amat tepat sekiranya Tungku berdiri sebagai satu badan sendiri demi kemajuan sukan ini di sana,” katanya.

Sementara itu, Hamid berkata sambutan Hari Raya Aidilfitri bertambah meriah kerana ianya turut diraikan oleh seluruh kaum.

“Saya lihat antara tetamu yang datang berkunjung hari ini terdiri daripada berbilang kaum. Kita bersyukur dan gembira kerana kita dapat menyambut Aidilfitri dalam suasana harmoni dan penuh perpaduan,” ujarnya.-SabahNewsToday