Pilih Bahasa

Pembangunan infrastruktur di Beluran perlu disegerakan

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Ronald (tengah) bersama pemimpin Srikandi dan Armada Bersatu bahagian Beluran. – Gambar SNT/Ihsan Bersatu Sabah

SANDAKAN:  Beluran yang mencatatkan 12.1 peratus iaitu dua digit insiden kemiskinan di negeri ini perlu diberi keutamaan dalam aspek penyaluran pembangunan infrastruktur.

Ahli Parlimennya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata laporan kajian seperuh penggal Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK11) yang dibentangkan di Dewan Rakyat mencatatkan dua daerah di Sabah yang telah mencatat insiden kemiskinan dua digit iaitu Beluran 12.1 peratus dan Tongod 14.6 peratus.

Menurut Ronald, tumpuan seharusnya diberikan kepada daerah berkenaan bagi membolehkan masyarakat luar bandar khususnya di kawasan itu memperoleh manfaat hasil dasar dilaksanakan oleh kerajaan.

“Tumpuan melibatkan pembangunan infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik, sekolah, klinik serta jalanraya untuk faedah rakyat.

“Justeru penyertaan masyarakat Beluran dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diharap menjadi landasan kepada kerajaan untuk terus membela masyarakat luar bandar yang masih memerlukan pembangunan”, katanya selepas Majlis Ramah Mesra Bersatu Beluran, Pemimpin Bahagian, Srikandi dan Armada Beluran Sempena Sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2020 di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ronald yang juga Ketua Bahagian Bersatu Beluran optimis jumlah keahlian Bersatu Beluran akan bertambah selepas proses pemilihan parti itu yang dijadual berlangsung pada April depan.

Beliau berkata ketika ini jumlah keahlian Bersatu bahagian itu kini dianggarkan lebih 3,500 orang dan usaha menambah ahli akan dilaksanakan oleh jawatankuasa bahagian, Srikandi serta Armada.

“Ini penting agar Bersatu Beluran bukan sahaja menjadi pelengkap kerajaan, malah menjadi pendokong hasrat kerajaan khususnya dalam menyalurkan pembangunan ke kawasan luar bandar,” tegasnya.

Ronald yang juga Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Negeri berkata, ketika ini pihaknya mempunyai 29 cawangan melibatkan kawasan  Dewan Undangan Negeri (Dun) Labuk dan Sugut.

Tambah beliau lagi sebanyak lapan buah lagi cawangan baharu sedang dibentuk dan akan berfungsi sebagai cawangan sah selepas pemilihan parti April ini. 

Katanya ia akan melengkapkan semua cawangan parti di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Parlimen Beluran dan terkini keahlian berdaftar Bersatu Sabah mencecah 100,000 orang daripada 25 bahagian seluruh negeri. – SabahNewsToday