Pilih Bahasa

Pembangunan semula Anjung Melawa bantu tingkatkan ekonomi usahawan Sepanggar

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Azhar (tengah) mengedarkan bendera kepada salah seorang pemandu sempena pelancaran Sambutan Semaran Merdeka di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan Penerangan

KOTA KINABALU: Pembangunan semula Anjung Melawa di Sepanggar sebagai Perkampungan Usahawan mampu merancakkan aktiviti keusahawanan di kawasan terbabit.

Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian negeri, Azhar Matussin berkata pihaknya melihat lokasi terbabit memiliki potensi tinggi untuk dimajukan berikutan berhampiran banyak tempat kediaman, politeknik dan laluan utama penduduk setempat dan pelancong asing.

Azhar berkata walaupun baru dimajukan semula sekitar tiga bulan lalu namun perkembangan Anjung Melawa berkenaan sangat memberangsangkan malah yakin bakal menjadi salah satu tempat pilihan penduduk sekitar serta masyarakat tinggal berhampiran.

Azhar (dua dari kiri) menerima cenderamata sempena pelancaran Sambutan Semarak Merdeka di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan Penerangan

“Tempat ini dibangunkan semula oleh Kelab Usahawan Bumiputera Sabah Sepanggar pada Mei lalu dan pembukaan awalnya sudah menampakkan sambutan luar biasa dalam kalangan pengunjung.

“Kebetulan ketika itu adalah bulan puasa, ramai pengunjung datang bagi membeli juadah berbuka di bazar Ramadan di sini selain kios serta restoran steamboat.

“Saya berharap semua pihak dapat bersama mempromosikan tempat ini kerana ia secara tidak langsung membantu usahawan tempatan yang berniaga di sini,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran Sambutan Semarak Merdeka, dekat sini hari ini.

Azhar (tiga dari kiri) meninjau peserta pertandingan menghias kek yang dianjurkan sempena pelancaran Sambutan Semarak Merdeka di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan Penerangan

Dianjurkan Kelab Usahawan Bumiputera Sabah, antara aktiviti dilaksanakan termasuklah pengedaran bendera kepada kenderaan awam, pertandingan melukis dan mewarna kanak-kanak, pertandingan menghias kek dan jualan usahawan kecil dan sederhana (IKS) Sepanggar.

Sementara itu, Azhar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karambunai berkata pihaknya sudah bertemu pihal Fama Sabah bagi membuka pasar tani di lokasi sama.

Beliau berkata pihaknya percaya dengan adanya pasar tani di Anjung Melawa itu kelak, ia mampu merancakkan lagi aktiviti di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kewujudan pasar tani itu juga boleh menjadi salah satu langkah promosi kawasan terbabit agar lebih dikenali. – SabahNews Today