Pilih Bahasa

Pembantu kesihatan tawar kad kesihatan pengendali makanan palsu ditahan polis

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang pembantu kesihatan di Hospital Ranau kerana disyaki menjalankan aktiviti penipuan dengan menawarkan perkhidmatan membuat kad kesihatan pengendali makanan palsu kepada pekerja premis makanan di daerah itu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata suspek lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada 10 Julai lalu dan telah reman selama empat hari sebelum diberikan jaminan polis pada Sabtu (13 Julai).

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass menunjukkan kad kesihatan pengendali makanan yang dipalsukan oleh seorang pembantu perubatan di Ranau, pada sidang media di IPK Sabah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Menurut Zaini tangkapan dilakukan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sabah dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Pada 25 Jun lalu seorang pengadu lelaki berumur 32 tahun yang juga penolong pegawai kesihatan di Pejabat Kesihatan Ranau telah membuat laporan polis berkaitan hasil pemeriksaannya ke atas pengendali premis makanan di lima buah premis sekitar Ranau.

“Pengadu mengesyaki premis makanan itu telah mempamerkan kad kesihatan palsu dan setelah semakan dibuat mendapati cop dan tandatangan pegawai pengesah pada kad tersebut tidak sah,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Kad kesihatan pengendali makanan yang dipalsukan oleh suspek. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Ditanya sama ada pemilik restoran mengetahui tentang penipuan itu, Zaini menjelaskan pihaknya akan menyiasat perkara itu dan sekiranya mendapati terbukti pemilik premis makanan bersubahat mereka akan dikenakan tindakan undang-undang.

Sehubungan itu beliau mengingatkan orang awam khususnya pengendali premis makanan agar mengikut saluran betul dan tidak mengambil jalan mudah bagi mendapatkan kad-kad kesihatan. – SabahNewsToday