Pilih Bahasa

Pembantu perubatan tulang belakang tingkat perkhidmatan kesihatan luar bandar – Poon

Bernama

KOTA KINABALU, 10 Mac — Pembantu perubatan atau penolong pegawai perubatan berperanan sebagai tulang belakang dalam usaha memperkasa serta meningkatkan lagi perkhidmatan kesihatan di pedalaman dan luar bandar, kata Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung.

Beliau berkata peranan dan khidmat bakti pegawai pembantu perubatan amat penting kepada penduduk di kawasan berkenaan terutama untuk pengesanan awal penyakit, memberi rawatan awal, pencegahan dan promosi kesihatan.

“Pembantu perubatan bukan lagi pelengkap kepada pasukan kepakaran tetapi adalah rakan setugas  dalam pasukan. Anggota ini juga akan menjadi rakan sepasukan kepada pasukan kesihatan awam.

“Oleh itu, saya amat menyokong pelaksanaan pengiktirafan terhadap AMOTeX (Pembantu Pegawai Perubatan Pakar Teknikal) dan langkah memperkenalkannya adalah tepat serta selari dengan Pelan Pembangunan Profesion Penolong Pegawai Perubatan.

“Saya optimis agar pada masa depan AMOTeX dapat dikembangkan lagi kepada sub kepakaran. Ini tidak mustahil sekiranya perancangan teliti dibuat dan dilaksanakan dengan baik,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Kebangsaan Kali Kesembilan di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Penolong Pegawai Perubatan, Kementerian Kesihatan, Dr Md Zaki Othman dan Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Christina Rundi.

Poon berkata selama hampir 230 tahun di Malaysia, pembantu perubatan atau penolong pegawai perubatan pastinya merakam sejarah panjang dengan pelbagai perubahan berlaku sepanjang tempoh itu, namun, profesion berkenaan masih tetap relevan sehingga kini.

“Mereka ada di mana-mana. Di ceruk pedalaman hingga ke pusat bandar. Di daratan hingga lautan. Mereka tetap cekal menabur khidmat kepada rakyat. Pada waktu wabak melanda, mereka bersedia dan mengambil risiko sebagai petugas saringan di barisan hadapan. Itulah pengorbanan profesion ini,” katanya.

Dalam pada itu, Poon turut menggesa pembantu perubatan khususnya di Sabah untuk memainkan peranan masing-masing dalam usaha memerangi golongan anti vaksin dengan menyampaikan maklumat tepat akan kepentingan pengambilan vaksin bagi mencegah penularan penyakit berjangkit seperti polio.

“Justeru, setiap pegawai harus bersedia dengan ilmu pengetahun terkini dan menjadi tanggungjawab setiap anggota kesihatan untuk meningkatkan pengetahuan serta kompetensi diri,” katanya.

— BERNAMA