Pilih Bahasa

PEMBAYARAN TUNGGAKAN INSENTIF PENGELUARAN GETAH SELESAI TIDAK LAMA LAGI – JUNZ

Oleh Chris Maskilone

Junz menerima cenderamata selepas mempengerusikan mesyuara tersebut. Gambar SNT/Ehsan MAFI

KUALA LUMPUR: Pembayaran insentif pengeluaran getah (IPG) tertunggak kepada penoreh getah di Sabah akan selesai tidak lama lagi.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong berkata tunggakan bagi bulan Mac hingga Disember 2018 tersebut perlu dibayar secepat mungkin.

Beliau telah meminta Lembaga Industri Getah Sabah (LGIS) untuk bekerjasama dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan juga untuk memuatnaik data yang perlu agar pembayaran dapat dijelaskan dengan serta merta.

Junz berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat antara pegawai dari Kementerian Industri Utama, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah, LGM dan LGIS di sini hari ini.

“Sementara itu, kita akan bekerja rapat dengan Kementerian Industri Utama dalam menyelesaikan isu bantuan musim tengkujuh kepada penoreh getah.

“Beri kita sedikit masa untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Junz turut meminta agar semua agensi berkenaan baik Persekutuan dan Negeri dapat mengkoordinasi usaha mereka demi kebaikan para penoreh getah di Sabah.-SabahNewsToday