Pilih Bahasa

Pembelajaran Sepanjang Hayat, UMS Terima 535 Pemohon Program Pascasiswazah

KOTA KINABALU: Seramai 535 pelajar ditawarkan untuk mengikuti program pascasiswazah Doktor Falsafah (PhD) dan Ijazah Sarjana secara penyelidikan dan kerja kursus di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi Semester 2, 2018/2019.

Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah, Prof. Dr. Hajah Arsiah Hj Bahron berkata, sehingga semalam (11 Februari), seramai 305 pelajar telah berjaya mendaftar sejak pendaftaran dibuka pada 9 Februari 2019 dan jumlah tersebut dijangka akan terus bertambah sehingga tarikh akhir pendaftaran pada 28 Februari ini.

Album Kenangan Pelajar Baharu Pascasiswazah UMS Semester 2, 2018/2019. Gambar SNT/Ehsan UMS

“Antara yang sudah mendaftar ialah 88 calon pelajar PhD dan 112 pelajar ijazah sarjana bagi mod penyelidikan, manakala 105 orang lagi adalah pelajar Pusat Luar UMS (PLUMS) yang mengikuti pengajian peringkat sarjana secara kerja kursus.”

“Pendaftaran pada kali ini menyaksikan peningkatan pelajar antarabangsa iaitu seramai 35 orang merangkumi pelajar dari negara China, Brunei, Indonesia dan Bangladesh,” katanya ketika ditemui pada sesi pendaftaran yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat Ke-2, di sini semalam.

Menurut Prof. Dr. Hajah Arsiah, UMS akan sentiasa menyemarakkan usaha mempromosi pembelajaran sepanjang hayat menerusi program pascasiswazah yang ditawarkan.

Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah, Prof. Dr. Hajah Arsiah (dua kanan) sedang melihat senarai pelajar yang sudah didaftarkan. Gambar SNT/Ehsan UMS

Katanya, program-program yang ditawarkan di UMS boleh menjadi salah satu sandaran kepada mereka yang bekerja untuk meningkatkan kecemerlangan karier masing-masing.

“Ini terbukti apabila terdapat kalangan alumni pascasiswazah UMS yang berjaya mendapat kedudukan jawatan yang lebih baik berbanding ketika sebelum mengikuti pengajian pascasiswazah sama ada di bidang kedoktoran mahu pun sarjana.

“Peningkatan pelajar antarabangsa dalam program kedoktoran juga adalah satu indikasi bahawa program doktor falsafah di UMS adalah kekal relevan dan diminati ramai,” tambah Prof Dr. Arsiah.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Hj Mail (tepi kiri) turut hadir bertemu pelajar pada sesi pendaftaran.Gambar SNT/Ehsan UMS

Dalam nada yang sama, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa Pusat Pengajian Pascasiswazah, Prof. Madya Dr. Fauziah Sulaiman turut melihat peningkatan pelajar antarabangsa dalam program PhD sebagai satu pengiktirafan daripada komuniti pelajar antarabangsa kepada sistem pengajian yang dilaksanakan oleh UMS.

“Penghargaan juga harus diberikan kepada pejabat Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global serta fakulti, pusat dan institut terlibat yang sentiasa berusaha mempromosi program pascasiswazah di UMS,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Kebajikan Pelajar Pusat Pengajian Pascasiswazah, Dr. [email protected] Abdul Adis memaklumkan, UMS turut menawarkan skim bantuan sebagai dana bagi meringankan beban kewangan pengajian.

“Terdapat beberapa syarat permohonan yang perlu dipenuhi oleh pelajar yang berminat dan ia adalah berdasarkan kepada peruntukan yang tersedia.

“Antaranya, ialah pelajar yang memohon terdiri daripada pelajar pascasiswazah sepenuh masa mod penyelidikan dan mampu memenuhi objektif utama skim tersebut iaitu menyelesaikan pengajian dalam tempoh masa yang ditetapkan,” jelas Dr. Azaze.

Suasana pendaftaran pelajar pascasiswazah.Gambar SNT/Ehsan UMS

Sesi pendaftaran tersebut turut menyaksikan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Hj Mail yang meluangkan masa beramah mesra dengan para pelajar baharu.

Ketika ditemui beliau melahirkan rasa senang dan menyatakan pertemuan dan pergaulan dengan kalangan kumpulan pelajar yang matang ini sentiasa memberi pengalaman unik dan berharga.

“Saya boleh melihat mereka mempunyai sebab masing-masing yang memberi kekuatan dan pendorong untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan PhD.

“Melihat kepada semangat yang ditunjukkan mereka, ia juga sangat memberi inspirasi kepada saya untuk memegang tanggungjawab dalam menggalas tugas yang diamanahkan (Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa),” ujarnya yang juga mantan Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS.

Hadir sama menyambut pelajar baharu ialah Pengarah PLUMS, Prof Madya Dr. Stephen Laison Sondoh dan Timbalan Pendaftar, Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS, Sirahim Abdullah.-SabahNewsToday