Pilih Bahasa

Pemberi maklumat akan terima RM10 ribu ganjaran dari JHL, sumbangan dari NGO belum dapat disahkan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Polis mengesahkan ganjaran RM10,000 yang dijanjikan kepada orang awam bagi membantu menangkap suspek terbabit kes bunuh gajah pygmy Borneo di Sungai Uding, Dumpas, Kalabakan, Isnin lalu, sudah ada pemiliknya.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata ganjaran itu adalah sumbangan daripada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah kepada orang awam itu kerana berjaya membantu menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya enam suspek.

ACP Peter Umbuas (tengah) semasa sidang akhbar hari ini. -Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Beliau berkata ganjaran RM20,000 lagi yang ditambah oleh Orangutan Appeal United Kingdom dan sebuah pertubuhan sukarela tidak dapat beliau sahkan.

“Kita sudah kenal pasti pemberi maklumat adalah seorang lelaki dan kita akan tunaikan janji kita untuk memberi ganjaran kepadanya manakala yang lain iaitu sumbangan pihak ketiga saya tidak dapat sahkan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pemberi maklumat yang sudi tampil ke hadapan.

“Dia memberi maklumat bukan kerana ganjaran yang diberi namun kerana ingin membantu polis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media berhubung tangkapan enam suspek lelaki termasuk seorang warga asing hari ini.

Kesemua suspek disyaki terbabit dalam kes tembak gajah pygmy Borneo di Sungai Uding, Dumpas, Kalabakan, dekat sini, 23 September lalu.

Suspek berusia antara 48 hingga 68 tahun itu ditahan sepasukan polis di beberapa lokasi berasingan kawasan Felda Umas sekitar pukul 12 pagi hingga 12.30 tengah hari tadi.

Semalam, Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga mengumumkan ganjaran RM30,000 menanti pemberi maklumat sehingga tertangkapnya pembunuh seekor gajah pygmy di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan.

Ganjaran itu masing-masing RM10,000 daripada JHL, Orangutan Appeal United Kingdom dan sebuah pertubuhan sukarela. – SabahNewsToday