Pilih Bahasa

Pembinaan balai polis daerah kecil Paitan diharap dapat dibina segera

Oleh Sabah News Today

Aslan Awang Damit. – Gambar SNT/Ihsan Wira Warisan Beluran

PAITAN – Rakyat di daerah ini berharap agar kerajaan dapat membina sebuah balai polis sebagai usaha membanteras kegiatan jenayah dan lebih penting memastikan keselamatan penduduk setempat sentiasa terjamin.

Ketua Wira Warisan Bahagian Beluran, Aslan Awang Damit berkata harapan tinggi rakyat Paitan agar kemudahan tersebut dapat disediakan dalam masa terdekat ini kerana ia dilihat satu keperluan yang mendesak.

Menurut beliau dengan adanya balai polis di kawasan itu gejala sosial dan jenayah seperti pecah rumah, kecurian dan dadah mampu diatasi agar tidak berleluasa di sekitar daerah kecil itu.

“Kegiatan seumpama ini merisaukan penduduk setempat tambahan pula penagihan dadah dapat merosakan belia setempat.

“Sehubungan itu diharapkan pihak kerajaan dapat mempertimbangkan dan meluluskan pembinaan balai polis seperti yang telah dicadangkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Aslan berkata selain balai polis kemudahan lain seperti bekalan air bersih, elektrik, hospital, balai bomba dan bangunan mahkamah anak negeri pelru dipertimbangkan oleh kerajaan untuk disediakan untuk penduduk di daerah ini.

Dalam pada itu, Aslan berkata penduduk di daerah itu turut menyuarakan keresahan mereka mengenai masalah kebanjiran pekerja asing di Paitan khususnya melibatkan isu kesahihan kemasukan pekerja tersebut.

Katanya ia berikuta daerah itu dikelilingi oleh tanaman ladang kelapa sawit sekaligus menyebabkan kehadiran ramai pekerja asing  di situ.

“Walaupun Paitan tersenarai antara daerah mundur di negeri ini, kita percaya dan yakin bahawa dengan kepimpinan kerajaan negeri yang baharu, sedikit masa lagi daerah kecil ini akan berubah wajah seperti daerah lain yang maju,” katanya. – SabahNewsToday