Pilih Bahasa

PEMBINAAN EMPANGAN PAPAR DAN TENOM AKAN DIPERCEPATKAN

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. – Gambar Fail SNT

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menegaskan sudah tiba masanya pembinaan empangan di Papar dan Tenom dipercepatkan untuk memastikan bekalan air mencukupi bagi menampung keperluan penduduk yang semakin meningkat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau telah mengarahkan Kementerian Pembangunan Infrastruktur untuk menyegerakan projek pembinaan empangan tersebut.

“Bekalan air amat diperlukan bukan sahaja pada masa ini tetapi juga untuk jangka masa panjang, lagipun kita kena membuat persediaan awal sekiranya berlaku kekurangan bekalan air, empangan yang ada dapat membekalkan air kepada penduduk.

“Jika kita mempunyai empangan ini ia bukan sahaja untuk menyediakan bekalan air tetapi juga dapat menjana tenaga elektrik, jadi dua perkara yang kita boleh dapatkan daripada empangan yang bakal dibina nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas ucapan beliau yang menyentuh mengenai usaha kerajaan negeri untuk menyegerakan membina empangan di Papar dan Tenom yang sebelum ini mendapat bantahan oleh beberapa pihak.

Terdahulu beliau merasmikan jalan by-pass Nountun Bukit Padang di sini petang tadi yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew; Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebuah syarikat luar berminat untuk membuka sebuah kilang mega di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

Katanya perjanjian persefahaman di antara kerajaan negeri dengan syarikat itu bakal membawa pelaburan yang dianggarkan bernilai RM4 bilion. – SabahNewsToday