Pilih Bahasa

Pembinaan klinik kesihatan di Pulau Mantanani perlu dipercepat

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Mustapha Sakmud. – Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul-

KOTA KINABALU: Kerajaan diminta mempercepatkan pembinaan Klinik Kesihatan di Pulau Mantanani, Kota Belud untuk memberikan kemudahan kepada lebih 1,000 penduduk di pulau berkenaan.

Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah merangkap Ketua Cabang PKR Kota Belud, Mustapha Sakmud berkata langkah itu penting dalam usaha memperbaiki perkhidmatan kesihatan tambahan pula ia sudah lama dinantikan penduduk di pulau itu.

Mustapha berkata dengan terbinanya klinik itu penduduk tidak perlu lagi ke pekan Kota Belud sekiranya hanya ingin membuat pemeriksaan rutin atau mendapatkan rawatan bagi penyakit yang tidak berjangkit.

“Pembinaan klinik ini ini juga penting agar dapat memberi rawatan awal kepada penduduk kampung terutamanya ibu mengandung, warga tua serta kanak-kanak.

“Mungkin sebelum ini wanita mengandung yang mahu bersalin terpaksa menggunakan bot kecil atau `lansa’ untuk ke hospital terletak di tanah besar dengan mengambil masa perjalanan yang lama.

“Isu berkaitan pembinaan klinik kesihatan di Pulau Mantanani sudah lama disuarakan oleh pelbagai pihak termasuklah penduduk kampung mahupun pemimpin kerajaan lama,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Setiausaha Bahagaian Warisan Sepanggar, Zakaria Damit di sini semalam.

Mustapha (dua dari kanan) dan Zakaria bersama para tetamu Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Pulau Mantanani terdiri daripada dua kampung iaitu Kampung Padang dan Kampung Siring Bukit dengan jumlah penduduk lebih 1,000 orang.

Mengulas lanjut tentang tapak pembinaan klinik itu yang dikatakan sudah ada, beliau dimaklumkan pembinaan klinik itu memerlukan kawasan seluas lebih setengah hektar.

Mustapha berkata beliau dimaklumkan projek itu terpaksa dikaji semula ekoran masalah tanah kerana klinik terbabit memerlukan sekurang-kurangnya setengah hektar tetapi yang diperuntukkan tidak sampai setengah hektar (0.4 hektar).

“Namun saya melihat projek ini perlu diberi kelonggaran kerana dilaksanakan dikawasan pulau hanya memerlukan bangunan klinik dan tidak memerlukan kawasan tempat letak kenderaan,” katanya.

Sementara itu, Mustapha yang juga Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelancongan Sabah menyatakan pembinaan klinik kesihatan di pulau terbabit menjadi keperluan kepada pelancong tempatan serta asing yang datang ke Pulau Mantanani.

Beliau berkata pulau berkenaan juga sudah banyak resort sekaligus menarik lebih ramai kedatangan pelancong dari luar negara khususnya China. Oleh itu, pembangunan perkhidmatan kesihatan di sana haruslah seiring dengan perkembangan sektor pelanconga yang kian berkembang. – SabahNews Today