Pilih Bahasa

Pembinaan kolam renang Kompleks Sukan Tawau diteruskan tahun ini

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Kerajaan kini dalam proses melantik pemaju baharu yang berkeupayaan dan boleh dipercayai bagi menyiapkan projek pembinaan kolam renang bertaraf Olimpik di Kompleks Sukan Tawau yang sudah dua tahun terbengkalai.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe berkata projek yang menelan belanja RM14 juta sebelum ini perlu diteruskan pada tahun ini supaya ia dapat digunakan oleh penggemar sukan renang.

Menteri Sukan dan Belia, Phoong Jin Zhe sedang diberi taklimat mengenai pembangunan Kompleks Sukan Tawau. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Saya akan bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada bulan hadapan bagi memohon segerakan projek pembinaan kolam renang itu pada tahun ini.

“Pemaju dahulu sudah ditamatkan kontrak ekoran terdapat masalah berkaitan kontraktor. Namun kita akan usaha supaya tahun ini projek berkenaan dapat diteruskan dengan adanya pemaju baharu.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe melawat ke Kompleks Sukan Tawau. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Kita tidak mahu perkara lama berulang kembali. Jadi kita akan pastikan pemaju baharu akan lebih berkeupayaan dan boleh dipercayai untuk meneruskan projek yang sudah lama terbengkalai ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Sukan Tawau, dekat sini, semalam.

Turut bersama beliau ialah Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Jimmy Wong dan Pengerusi Lembaga Sukan Sabah Dr K H Tan.

Phoong sempat bergambar kenangan dengan para pemain tennis remaja di Tawau. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Sebanyak 16 Kompleks Sukan seluruh negeri beliau lawati bagi mengenalpasti masalah dan baik pulih fasiliti yang rosak.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Luyang menggesa supaya naik taraf Kompleks Sukan Tenom diteruskan ekoran keperluan mendesak daripada masyarakat setempat.

“Saya mendapati astaka dan trek kompleks sukan di Tenom tidak dapat digunakan sepenuhnya akibat kesan daripada bencana banjir yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Phoong (berdiri, lima dari kiri) dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjong, Datuk Jimmy Wong (berdiri, enam dari kiri) bergambar kenangan bersama penggemar sukan bola tampar. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Sepanjang lawatan itu juga, beliau sempat bertemu dengan beberapa individu bagi mengetahui keperluan dan luahan mereka sebagai pengguna kompleks sukan terbabit.

Melalui lawatan itu, beliau akan berusaha menambah baik kemudahan diperlukan dari semasa ke semasa.

“Terlalu banyak permintaan daripada masyarakat. Jadi kita daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan akan cuba menyelesaikan permasalahan yang berbangkit berhubung setiap komplek sukan berkenaan.

“Saya turut menyeru supaya orang ramai tidak merosakkan harta benda awam kerana kemudahan ini adalah untuk semua. Kebersihan juga harus dijaga,” jelasnya. – SabahNewsToday