Pilih Bahasa

Pembinaan pondok bit polis bantu tingkatkan keselamatan

Oleh Junaidi Ladjana

Mohd Haris (tengah) bertemu dengan para pengunjung di Plaza 333. – Gambar SNT/Ihsan PDRM

PENAMPANG: Inisiatif Pusat Komersial Plaza 333 membina pondok bit polis membuktikan mereka bekerjasama rapat dengan polis demi keselamatan orang ramai yang berkunjung di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata tujuan pondok bit itu adalah untuk meningkatkan kehadiran polis di kawasan berkenaan yang menjadi tumpuan orang ramai.

Mohd Haris (empat dari kiri) menerima replika kunci pondok bit polis daripada Pengarah Pengurusan Plaza 333 Tai Khiam Hiong. – Gambar SNT/Ihsan PDRM

“Keperihatinan pihak pemaju yang turut sama memikirkan kaedah atau cara dalam menangani kejadian jenayah amat dialu-alukan.

“Bahkan, dengan wujudnya pondok bit ini, pengunjung yang datang akan berasa selesa dan selamat dengan kehadiran anggota polis,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas program penyerahan kunci pondok bit polis di Plaza 333, di sini.

Mohd Haris (kanan) bersama pegawai memberi penerangan isi kandungan risalah yang diedarkan sempena penyerahan kunci pondok bit polis di Plaza 333, Penampang. – Gambar SNT/Ihsan PDRM

Mohd Haris berkata, inisiatif ini juga menunjukkan moto “Masyarakat dan Polis Berpisah Tiada” amat tepat lebih-lebih pondok bit berkenaan seratus peratus disumbangkan oleh pihak mereka dan beliau juga berharap akan mendapat kerjasama berterusan daripada semua pihak dalam mencegah jenayah. 

Pada program itu juga, Mohd Haris bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Asisten Superintendan Farid Sairi dan pegawai kanan lain turut mengedarkan risalah pencegahan jenayah kepada pengunjung di Plaza 333. – Sabah News Today