Pilih Bahasa

Pembinaan semula bangunan sekolah daif fasa pertama dijangka awal tahun depan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Dr Yusof (kanan) sebelum mempengerusikan Mesyuarat Pelaksanaan Projek Sekolah Daif Fasa Pertama di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/Ihsan Penerangan

KOTA KINABALU: Kerajaan memperuntukan sebanyak RM88 juta untuk melaksanakan pembinaan semula sebanyak 22 buah bangunan sekolah daif di Sabah pada awal tahun hadapan.

Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri, Datuk Dr Yusof Yacob berkata tiga sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai-Sungai Beluaran, SK Nibang Pitas dan SK Tiong Widu Tambunan yang termasuk dalam fasa pertama projek bernilai RM10 juta dijangka dapat diberikan surat tawaran kepada kontraktor menjelang penghujung tahun ini.

“Tiga sekolah ini akan dibina menggunakan sistem binaan berindustri (IBS) dan setakat ini proses tender sudah siap dilaksanakan manakala analisa teknikal sedang dijalankan.  

“Sebanyak 19 lagi sekolah daif di daerah Beaufort, Papar, Kota Marudu, Kota Belud, Tawau dan Keningau bernilai RM78 juta pula proses tender akan dilakukan pada hujung tahun ini atau awal Januari namun pembinaannya turut dijangkakan awal tahun hadapan. Semua bangunan sekolah ini dibina menerusi pembinaan secara konvensional.

“Kesemua 22 sekolah ini sudah diisytiharkan tidak selamat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan memerlukan pembinaan semula secepat mungkin,” katanya ketika sidang media selepas beliau mempengrusikan Mesyuarat Pelaksanaan Projek Sekolah Daif Fasa Pertama di sini, hari ini.

Dr Yusof berkata pihaknya mahu semua projek pembinaan semula bagi sekolah daif itu disiapkan dalam jangka masa enam bulan bermula daripada tarikh pemberian surat tawaran.

Beliau menjelaskan Sabah masih mempunyai banyak sekolah daif namun keutamaan diberikan kepada sekolah yang struktur bangunannya sudah tidak selamat diduduki.

“Selepas projek membina semula bangunan 22 sekolah ini dilaksanakan, kita masih ada 69 buah sekolah daif mengalami masalah sama dan berharap ia boleh dibuat pada tahun hadapan atau selewatnya dalam Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK12) secara berperingkat,” katanya 

Dalam pada itu, beliau menyatakan semua kuasa bagi jawatankuasa pemantauan bagi SK Sungai-Sungai Beluaran, SK Nibang Pitas dan SK Tiong Widu Tambunan adalah kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah. 

“Proses pengeluaran tender serta surat tawaran untuk projek 19 lagi sekolah daif pula diberikan kuasa kepada negeri manakala JKR Sabah sebagai urusetia.

Bagaimanapun katanya pemantauan tetap dibuat oleh Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah. – SabahNews Today